KUALA LUMPUR – Kini, orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati dengan panggilan oleh individu yang tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang mendakwa orang dihubungi telah melakukan kesalahan.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan peringatan itu susulan pihaknya telah menerima aduan daripada seorang pengadu yang telah menerima panggilan daripada individu bernama Mohd Azim Abdul Aziz yang memberitahu bahawa talian telefon pengadu telah menghantar pautan-pautan judi dan aksi lucah ke serata telefon di Negeri Sembilan.
“Pengadu yang terbabit dikehendaki membuat aduan dalam tempoh 30 minit dan sekiranya gagal untuk berbuat demikian ia boleh menyebabkan talian telefon pengadu disekat dan disenaraihitamkan oleh pihak penyedia perkhidmatan.”
“Adalah dimaklumkan bahawa individu yang bernama Mohd Azim Abdul Aziz bukan kakitangan MCMC dan tidak pernah berkhidmat dengan pihak suruhanjaya.” Katanya.
Menurut MCMC, sebarang pengumuman mengenai sesuatu urusan berkaitan suruhanjaya ia perlu dilakukan mengikut saluran rasmi seperti laman sesawang atau platform medi sosial MCMC dan bukannya menggunakan nama individu, penggunaan bahasa yang meragukan serta nombor telefon bimbit persendirian.
Oleh itu, orang ramai digesa untuk tidak mudah terpedaya dengan panggilan sedemikian oleh pihak yang tidak dikenali dan segera melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Sumber: BERNAMA