SEREMBAN – Orang ramai prihatin dengan mangsa banjir dan cuba membantu dengan menghantar keperluan yang dikumpul oleh pertubuhan bukan kerajaan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini.
Tinjauan mendapati antara barangan yang disumbangkan oleh orang ramai berupa pakaian dewasa dan kanak-kanak, lampin bayi, tuala wanita, sejadah, telekung solat, barang makanan dan tuala.
Pada mulanya penganjur mengehadkan masa menerima bantuan banjir dari orang ramai sehingga pukul 3 petang sahaja namun masa dilanjutkan berikutan kenderaan membawa bantuan tidak putus-putus tiba di Stadium Tuanku Abdul Rahman.
Pengerusi Persatuan Ikatan Amal Muafakat Malaysia, Mohd Shahril Anuar, 36, berkata, beliau tidak menjangka sambutan daripada masyarakat di sekitar Seremban sangat memberangsangkan.
“Sebelum ini kami memang membuat kerja sukarelawan membantu mangsa banjir di beberapa negeri. Hari ini kami membuat hebahan di laman Facebook dan meminta orang ramai memanjangkan pesanan sumbangan ini.
“Kami melaksanakannya dengan cara pandu lalu bagi mengelakkan jangkitan Covid-19,” katanya ketika ditemui.
Mohd Shahril berkata, barang yang disumbangkan akan disalurkan kepada mangsa banjir di Pantai, Jelebu dan Rembau.
“Jika masih ada sumbangan, kami akan turut menyalurkan ke Klang dan Shah Alam,” katanya.
Sementara itu, Ayu Kaizura Radzuan, 46, dari Senawang, berkata meskipun berada dalam pasca Covid-19, namun ramai orang awam membantu mangsa banjir.
“Saya menyumbang dua kotak pakaian wanita. Saya cuba datang lewat bagi mengelakkan kesesakan kerana penganjur mengehadkan masa sehingga jam 3 sahaja.
“Namun sebaik tiba, saya terkejut kerana mendapati kenderaan masih penuh dan jalan sesak,” katanya.
Sumber: BERITA HARIAN