KUALA TERENGGANU – Orang ramai mengambil peluang membayar saman trafik apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan pengurangan saman trafik terpilih sehingga 80 peratus bermula Khamis sehingga 12 Disember ini.
Tinjauan mendapati orang ramai mula berbaris menunggu giliran untuk menyemak dan membayar saman sejak seawal 7.30 pagi walaupun kaunter hanya dibuka pada 9 pagi.
Rata-rata yang ditemui berkata langkah itu mampu mengurangkan sedikit beban, khususnya yang terjejas pendapatan atau kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19, selain golongan B40.
Bagi Umi Kalsom Ismail, 34, dar Kuala Terengganu berkata dia menyambut baik inisiatif PDRM itu bagi melunaskan saman trafik atas namanya sejak beberapa tahun lalu.
“Oleh sebab sentiasa menangguhkan bayaran saman kerana kekangan masa dan wang menyebabkan jumlah saman meningkat dan sekali lagi menyukarkan untuk menjelaskannya lebih-lebih lagi keadaan sekarang.
“Bila PDRM umum tentang potongan diskaun sehingga 80 peratus, sudah tentu bagi mereka yang mempunyai saman trafik tertunggak, ini peluang terbaik untuk menyelesaikan semua saman ini,” katanya yang mengetahui mengenai potongan saman terbabit melalui media sosial.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, diskaun tersebut diberikan sempena 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Pengurangan kompaun tidak ditawarkan bagi kesalahan kemalangan, memotong secara berbahaya, menggunakan lorong kecemasan, tidak patuh isyarat lampu merah dan memotong di garisan berkembar,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sumber: TRDI News