Orang Ramai Tidak Digalakkan Berbuka Puasa Di Tepi Sungai Kelantan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU: Kerajaan negeri tidak menggalakkan orang ramai menjadikan tepi Sungai Kelantan, Lembah Sireh di sini sebagai lokasi untuk berbuka puasa sepanjang Ramadan tahun ini.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, masalah kebersihan menjadi perkara yang sering dibangkitkan apabila ada sebahagian pengunjung tidak menitik beratkan aspek tersebut semasa berbuka puasa di kawasan berkenaan.

“Itu merupakan masalah utama yang dibangkitkan oleh beberapa pihak sehingga menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk mengawal kebersihan kawasan tersebut. 

“Kerajaan negeri akui terdapat cadangan agar kawasan itu (tepi Sungai Kelantan di Lembah Sireh) tidak dijadikan lokasi orang-ramai berbuka puasa pada Ramadan nanti. Lagipun, tanah berkenaan bukan dimiliki oleh kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Mohd. Amar memberitahu, kawasan itu dimiliki sepenuhnya Liziz Standaco Sdn. Bhd. dan pihak berkenaan mempunyai hak untuk menyekat aktiviti tersebut.

Katanya, kerajaan negeri sudah pun menyediakan lokasi lebih bersesuaian untuk orang ramai berbuka puasa beramai-ramai, iaitu Madinah Ramadan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV pada setiap tahun.

“Di Madinah Ramadan kita sediakan makanan percuma pada setiap hari dan dilengkapi dengan kemudahan tandas awam, tempat solat dan sebagainya.

“Jadi lebih baik orang ramai berbuka puasa di Madinah Ramadan berbanding di kawasan tepi Sungai Kelantan yang tidak menyediakan sebarang fasiliti,” ujarnya.

Sumber: UTUSAN