Padah tular ‘tak pernah kena walau satu dozz pun boleh dine in juga’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Tindakan seorang peniaga memuat naik hantaran di media sosial makan di kedai berserta gambar tanpa menerima suntikan vaksin mengundang padah apabila dipanggil pihak berkuasa untuk siasatan.

Hantarannya menerusi akaun Facebook (FB) yang dibuatnya pada 11 September lalu menjadi tular selepas seorang pengguna Twitter membuat tangkap layar hantaran itu dan ciapan dikesan pihak berkuasa semalam.

Peniaga terbabit menerusi hantarannya di FB menyatakan, “Tak pernah kena walau satu dozz pun boleh dine in juga… Gumonim.. Semua”.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, bertindak daripada tular ciapan itu, pihaknya mengesan pemilik akaun FB terbabit dan lelaki berkenaan kemudiannya dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh bagi membantu siasatan.

“Lelaki itu hadir ke IPD Pasir Puteh semalam untuk diambil keterangan dan telefon bimbitnya juga dirampas sebagai bahan bukti.

“Daripada rakaman percakapan didapati gambar yang dimuat naik itu adalah foto individu yang tidak dikenali yang diambil di dalam kumpulan WhatsApp.

“Lelaki itu juga menyatakan tujuannya memuat naik gambar itu hanyalah untuk bergurau sahaja dan tiada niat lain,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Shafien berkata, lsiasatan lanjut mendapati lelaki berusia 43 tahun itu masih belum mendaftarkan diri untuk menerima suntikan vaksin atas alasan mahu melihat terlebih dahulu jika ada sebarang tindak balas yang tidak diingini oleh penerima vaksin lain.

Menurutnya lagi, lelaki itu kemudiannya dilepaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 269/506(b) Kanun Keseksaan (KK).

“Siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 233 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Sumber: My Metro