KUANTAN, 23 FEBRUARI 2021: Pahang akan menerima liputan jalur lebar terbaik menjelang akhir tahun 2022 selepas usaha menaik taraf 1322 menara pencawang terlibat siap dilakukan.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, ia selari dengan cadangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar rangkaian jalur lebar diiktiraf sebagai utiliti awam ketiga dalam aspek perancangan, kelulusan dan pembinaan.
“Buat masa ini kadar capaian internet di negeri ini ialah secara 86 peratus, kita sasar apabila siap pada penghujung 2022 nanti kadar capaian internet 4G seluruh negeri Pahang adalah 96 peratus terutamanya di daerah berpenduduk agak rendah dan rangkaian jalur lebar yang terhad seperti di Lipis, Jerantut, Cameron Highlands, Raub, Bera dan Rompin.
“Sebanyak 191 buah menara baru akan dibina sepanjang tempoh setahun ini selain 28 buah menara telah siap dibina pada tahun lalu manakala 1,322 buah menara sedia ada akan dinaiktaraf kepada 4G daripada 3G,” katanya pada temubual eksklusif Bicara Pahang bersama Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), hari ini.
Dalam pada itu, menyentuh berkenaan kemudahan pusat internet di negeri ini, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin berkata, setakat ini jumlah pusat-pusat internet di Negeri Pahang ialah sebanyak 131 iaitu 108 buah Pusat Internet Komuniti (SKMM), 20 buah Pusat Komuniti Desa (Kementerian Pembangunan Luar Bandar) dan tiga Pusat Internet Desa Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Buat masa ini kadar penggunaan pusat internet adalah sekitar 60 hingga 70 peratus jadi kita dapati akses yang lebih boleh digunakan kepada Jabatan Pelajaran Negeri untuk mengatur pelajar terutamanya dari golongan kurang berkemampuan menggunakan peralatan yang sedia ada,” katanya.
Sementara itu, beliau menasihatkan rakyat Negeri Pahang agar sentiasa berdiri teguh bersama Kerajaan Negeri yang sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk rakyat.
“Hendak atau tidak, kita perlu melibatkan diri dalam dunia digital dan bagi merapatkan jurang digital, Kerajaan Negeri terus berusaha melaksanakan pelbagai inisiatif.
“Rakyat perlu sentiasa bersiap sedia untuk pelajari apa yang patut kita tahu supaya kita dapat bersama-sama mampu mendepani zaman digital yang lebih mencabar nanti,” katanya.
Katanya lagi, kemudahan yang disediakan oleh kerjaaan pada masa sekarang dan akan datang memerlukan peranan dan tanggungjawab setiap rakyat.
“Ia terpulang kepada cara kita menggunakan media sosila dengan bertanggungjawab supaya kita tidak melibatkan diri kita dalam perkara-perkara yang memusnahkan.
“Jangan menyebarkan perkara yang tidak baik , fitnah, huru harakan masyarakat… Jadi apa yang kita dapat perlu digunakan secara bertanggungjawab,” katanya.
Sumber: PAHANGMEDIA