Pahang benar pasar malam beroperasi untuk mereka lengkap vaksinasi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Kerajaan negeri Pahang membenarkan pasar malam, jualan bundle (pakaian atau kasut terpakai) dan but kereta kembali beroperasi hanya kepada pengunjung lengkap vaksinasi mulai hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd Rahim Muda berkata, pengunjung perlu menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 dalam aplikasi MySejahtera serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Waktu operasi yang ditetapkan bagi pasar malam bermula 3 petang sehingga 9 malam dan bilangan peniaga berdasarkan 50 peratus daripada kapasiti peniaga sedia ada untuk sesuatu tapak. Hanya peniaga makanan dan minuman serta komoditi asas sahaja dibenarkan secara penggiliran.

“Pengunjung diingatkan supaya tidak makan atau minum di gerai serta kawasan lapang atau tempat letak kereta berhampiran tapak pasar malam selain tiada perkhidmatan mencuba pakaian atau penukaran dibenarkan,” katanya pada sidang media di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Abd Rahim berkata kanak-kanak dan individu berusia 70 tahun ke atas tidak digalakkan ke pasar malam, manakala bagi peniaga, had umur yang tidak digalakkan ialah 60 tahun dan seterusnya.

Peniaga juga tidak dibenarkan menjalankan aktiviti berbentuk hiburan seperti mesin permainan Kiddie Ride dan Claw Machine dan sewaan alatan permainan selain tiada aktiviti promosi atau edaran risalah di pasar malam.

Ketetapan seperti menyediakan nombor giliran, pengawal keselamatan, memastikan penjarakan fizikal, penggunaan pelitup muka dan kod QR MySejahtera adalah diwajibkan.

“Jika terdapat pengunjung atau peniaga didapati positif Covid-19, tapak perniagaan akan ditutup selama tiga hari untuk kerja pembersihan,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuantan Datuk Hamdan Hussin berkata, pihaknya akan menjalankan pemantauan secara berkala dan berharap penganjur dapat menubuhkan pasukan pemantau bagi memastikan pelanggan dan peniaga mematuhi SOP.

Sumber: My Metro