KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang bercadang menubuhkan Akademi Mineral Malaysia Pahang (AMMP) di Lipis, yang antara lain berperanan sebagai pusat pembelajaran dengan menawarkan program pendidikan dan latihan serta perkhidmatan teknikal berasaskan industri mineral.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kampus sementara AMMP di Lipis Centrepoint juga berperanan sebagai pusat sehenti bagi maklumat pembangunan mineral, khususnya di Pahang, dan kerajaan negeri telah melantik Pahang Skills Development Centre sebagai peneraju pembangunan AMMP manakala Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah selaku perunding.
“Saya berharap langkah ini dapat membantu mengimbangi pembangunan ekonomi di seluruh Pahang terutama dalam merapatkan jurang pembangunan antara Pahang Barat dan Pahang Timur,” menurutnya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata AMMP merupakan sebahagian daripada komponen rancangan pembangunan Taman Teknologi Bersepadu Lipis (TTBL) yang terkandung dalam Laporan Pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus dan telah diluluskan dalam mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus pada 3 Jun 2022.
Katanya TTBL akan berkonsepkan pusat pembangunan bersepadu industri bernilai tinggi dengan teknologi mesra alam selain memiliki sumber manusia yang berpengetahuan serta kompeten dan selain AMMP, ia memiliki sebuah lagi komponen pembangunan iaitu pusat pemprosesan mineral di Sungai Temau.
Wan Rosdy berkata kewujudan TTBL adalah selaras dengan Pelan Transformasi lndustri Mineral 2021-2030 dan kerajaan bercadang menjadikan Malaysia antara hab pembangunan industri mineral yang memiliki rantaian lengkap ekoran permintaan hasil mineral telah meningkat kepada sangat tinggi dan akan terus berkembang pada masa depan.
— BERNAMA