Pahang Cari Solusi Holistik Elak Kesan Teruk Banjir Berulang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang kini sedang memikirkan tentang solusi holistik dan terbaik bagi mengatasi kesan teruk banjir daripada terus berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, banjir merupakan satu fenomena yang tidak dapat dielak namun usaha mengatasi kesannya boleh dilaksanakan dengan perancangan jangka masa pendek dan panjang.

“Pada pandangan saya, sudah sampai masa kita untuk memikirkan tentang penyelesaian holistik. Kalau kita tengok negara maju seperti Jepun yang bukan setakat ada banjir, gempa bumi, taufan dan macam-macam lagi, tapi mereka boleh menguruskan negara dengan baik.

“Jadi kita juga perlu ke arah itu, ada plan yang holistik untuk kita cari jalan menghadapi banjir secara sistematik supaya ia tidak akan lagi memberi kesan yang besar kepada penduduk,” katanya dalam satu temubual bersama Astro Awani, malam tadi.

Dalam pada itu, beliau turut mahu melihat usaha terjalin di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat melalui kajian, idea, perancangan dan penyediaan peruntukan bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Banjir tetap akan berlaku kerana mother-nature ni tak ada siapa boleh control, tapi bagaimana kaedah untuk mengatasi kesannya perlu ada. Mesti ada teknologi, kaedah, pendekatan serta plan.. saya yakin bahawa ianya memerlukan perbelanjaan yang agak begitu besar namun ia jauh lebih baik daripada kehilangan nyawa, harta benda, tempat tinggal.

“Kemusnahan dan kehilangan yang berlaku jika berulang-ulang akan memberi kesan yang sangat negatif kerana sebagai seorang mangsa banjir, akan mengambil masa yang lama untuk kembali kepada kehidupan yang normal,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, terdapat cadangan selain persediaan awal bekalan bantuan di setiap pangkalan hadapan serta persediaan setiap Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri.

“Kita lebih mencadangkan agar mangsa banjir pindah ke asrama di mana di situ sudah ada tilam katil, tempat makan, tempat masak jadi ianya akan mengurangkan banyak perbelanjaan dari segi penyediaan peralatan untuk mangsa-mangsa banjir.

“Sekarang perlu ada khemah, kena sedia tilam dan sebagainya. Kalau pindah asrama akan lebih jimat dan jauh lebih selesa,” katanya.

Beliau turut menyentuh berkenaan kawasan yang menjadi ‘lokasi wajib banjir’ iaitu penempatan di kawasan rendah yang perlu dipindahkan.

“Penduduk di kawasan rendah yang sentiasa dilanda banjir terutamanya melibatkan kesan besar perlu dipindahkan ke tempat lain. Kalau kita ingat lagi selepas banjir besar pada tahun 1971, kita ada penempatan khas untuk mangsa banjir yang dikenali sebagai rancangan rumah banjir yang diwujudkan untuk mereka tinggal di kawasan yang lebih tinggi dan selamat.

“Satu lagi kita bercadang untuk mewujudkan PPS kekal di mana PPS sedia ada sekarang mungkin mampu memuatkan 100, 200, 300 mangsa di daerah tertentu yang sering dilanda banjir.

“Jika tidak digunakan pada bukan musim banjir, ia boleh digunakan sebagai training centre, retreat dan sebagainya atau pun salah satu produk pelancongan, kita tunggu pengumuman selanjutnya daripada Menteri Besar nanti, ” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA