Pahang dijangka beralih ke Fasa 3 PPN

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Pahang dijangka beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ketika ini negeri itu sudah memenuhi tiga kriteria yang ditetapkan untuk ke fasa berkenaan.

Menurutnya, tiga kriteria yang sudah dipenuhi ialah jumlah jangkitan komuniti dan pesakit yang berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) rendah, manakala vaksinasi dos kedua sudah mencapai kadar 40 peratus.

“Oleh itu, kita dalam proses untuk ke Fasa Tiga PPN dan dijangka beralih dalam tempoh terdekat.

“Kerajaan negeri juga dalam perancangan untuk membuka aktiviti pasar malam dan pasar pagi yang akan diumumkan dalam tempoh dua atau tiga hari tetapi ia bergantung kepada laporan sebelum dibenarkan beroperasi,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian ketika sidang media selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2021 Peringkat Pahang di pekarangan Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, Pengarah Jabatan Penerangan Pahang Sabaruddin Yeop Hamza dan Datuk Bandar Kuantan Datuk Hamdan Hussin.

Setakat ini, tiga negeri berada di Fasa Tiga PPN iaitu Perlis, Sarawak dan Labuan.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, Pahang akan menerima 1.74 juta dos vaksin dalam tempoh tiga bulan bermula bulan ini.

Katanya, sebanyak 580,000 dos vaksin akan diterima bulan ini sehingga Oktober depan.

“Kita jangka sehingga Oktober depan, kadar vaksinasi di Pahang akan mencapai sehingga 80 peratus,” katanya.

Sumber: My Metro