Pahang Harap Kerajaan Persekutuan Lulus RM400 Juta Baiki, Selenggara Jalan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Kerajaan Pahang berharap kerajaan Persekutuan meluluskan kira-kira RM400 juta peruntukan yang dipohon menerusi Belanjawan 2023 supaya tindakan membaiki dan menyelenggara jalan Persekutuan dapat dilaksanakan segera.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata selain kekangan dari segi peruntukan, bencana banjir akibat cuaca yang tidak menentu turut menyumbang kepada kelewatan kerja membaiki jalan yang bermasalah.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan negeri sentiasa cakna dan mengambil serius segala aduan yang diterima selain menelitinya bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) agar tindakan sewajarnya dapat dilaksanakan.

“Kita (Kerajaan Pahang) telah mengambil langkah jangka pendek dengan menampal lubang jalan rosak terlebih dahulu dengan menggunakan peruntukan kecemasan.

“Pahang memerlukan bajet yang lebih untuk menyelenggara khususnya jalan Persekutan sepanjang 3,000 kilometer dengan lebih baik, kalau dapat 40 peratus (permohonan peruntukan) macam mana kita nak selenggara jalan,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat bersama JKR di sini hari ini.

Sebelum ini, isu jalan rosak dan berlubang di Pahang tular dan mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial selain keadaan jalan yang bermasalah itu turut dipercayai antara punca kemalangan.

Selain itu, Mohammad Fakhruddin berkata kenderaan berat membawa muatan secara berlebihan juga dilihat antara penyumbang kepada kerosakan jalan dan berharap mereka terlibat mematuhi syarat ditetapkan pihak berkuasa berhubung kapasiti muatan yang dibenarkan demi kebaikan bersama.

Sementara itu, beliau menjelaskan mengenai inisiatif kerajaan negeri yang akan mengambil tindakan terhadap aduan orang ramai berkaitan kerosakan jalan raya dalam tempoh 24 jam dengan memaklumkan ia bergantung kepada tahap kerosakan fasiliti itu.

“Kalau benda kecil kita boleh baiki segera namun kalau kerosakan besar tidak mungkin dibaiki dalam tempoh 24 jam misalnya jalan runtuh, maksud 24 jam di sini ialah aduan itu diambil kira untuk tindakan sama ada permohonan bajet segera atau tampal lubang dahulu, bergantung kepada kerosakan,” katanya.

Beliau turut menyarankan orang ramai membuat aduan kepada wakil rakyat masing-masing berhubung kerosakan jalan supaya dapat dikemukakan kepada pejabat daerah seterusnya JKR untuk tindakan lanjut.

– BERNAMA