Pahang Kini Miliki Pasukan Elit Penguatkuasa

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Kerajaan Negeri memandang serius isu pembalakan, perlombongan, pencerobohan tanah dan ia dibuktikan dengan penubuhan Pasukan Elit Penguatkuasa Negeri Pahang.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, adalah menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk memiliki satu unit khas yang dapat membanteras aktiviti-aktiviti tidak sihat di negeri ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

“Saya percaya dengan penubuhan skuad elit yang berada di bawah bawah Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) ini sedikit sebanyak dapat membantu Kerajaan Negeri membendung ketirisan dan kebocoran.

“Saya dapati walaupun Kerajaan Negeri telah memberi perhatian yang serius dengan menaikkan kompaun daripada RM10,000 kepada RM500,000 tetapi ianya (pencerobohan) tetap masih berlaku di seluruh daerah dalam negeri ini.

“Saya berpandangan ia tidak sepatutnya berlaku, tidak sepatutnya berterusan kerana ini merugikan Kerajaan Negeri Pahang dan dalam masa yang sama menunjukkan bahawa seolah-olah kerajaan negeri tidak berupaya membendung aktiviti yang sedemikian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Kursus Pasukan Elit Penguatkuasa Negeri Pahang di Kem Pasukan Gerakan Am, Bukit Galing di sini.

Hadir sama YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak; Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, YH Dato’ Mohd Zakaria Ibrahim; Ketua Polis Pahang, YH Dato’ Ramli Mohamed Yoosuf; Pengarah Pusat Operasi Imunisasi negeri Pahang, YH Dato’ Abdul Aziz Haji Salleh; Komander Briged Tenggara PGA, Komander Hasan Basri Ahmad Safar serta Pengarah Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang, Tuan Haji Rizal Ali @Jaafar.

Dalam pada itu, pasukan yang ditubuhkan hasil idea Dato’ Sri Wan Rosdy sendiri ini telah menjalani latihan intensif kira-kira sebulan yang dikendalikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kem Galing, dekat sini.

Seramai 20 penolong pegawai penguatkuasa dipilih melalui saringan ketat sebelum diberikan latihan asas pengendalian senjata, risikan dan serbuan.

Pasukan ini ditempatkan di bawah pentadbiran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan beroperasi di bawah Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang sedia ada bertangggungjawab dalam menjalankan tugas risikan dan serbuan.

Pasukan Elit Penguatkuasa

Sementara itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menzahirkan keyakinan bahawa pasukan yang terdiri yang dilengkapi latihan, ilmu undang-undang, pertahanan diri dan sebagainya ini dapat melaksanakan tugas dengan sewajarnya.

“Kita memandang serius aktiviti haram dan buktinya Kerajaan Negeri sanggup belanja lebih RM2 juta setahun semata-mata untuk memberi fokus supaya aktiviti haram ini dapat diminimakan.

“Saya tidak pasti mengenai kewujudan pasukan sama di negeri lain, tapi bagi saya, penubuhan pasukan elit ini adalah bukti jelas bahawa kita sangat serius untuk memastikan mereka (penceroboh tanah kerajaan negeri) tidak lagi bebas berbuat sesuka hati di Pahang,” tegasnya.

Sumber: PAHANGMEDIA