BENTONG : Kerajaan Negeri bersikap lebih terbuka dengan cara mempermudahkan setiap urusan dan mengurangkan birokrasi bagi menggalakkan pelaburan di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, namun begitu dalam mengamalkan konsep lebih mesra pelabur, tiada kompromi dari segi lain seperti kemudahan merancang dan lain-lain kepentingan negeri ini.
“Projek yang saya rasmi kan hari ini adalah salah satu contoh projek pembangunan yang sangat baik di mana ia akan merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini khususnya Genting Highlands.
“Ia menarik lebih ramai pelancong dari luar ke negeri ini dan turut memberi peluang kepada mereka yang ingin membeli unit kondominium di sini.
“Tempatnya strategik selain ada eskalator (tangga elektrik) untuk naik ke theme park (taman tema) dan dalam masa yang sama boleh turun ke cable car (stesen kereta kabel).. saya dimaklumkan oleh pemaju (Aset Kayamas) jualannya (kondominium) sangat baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Galeri Jualan Antara di Genting Highlands, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri I, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Sri Haji Abdul Rahman Mohamad, Pengarah Urusan Aset Kayamas, Tan Sri Chai Kim Kong, Pengarah Eksekutif Aset Kayamas, Encik Micheal Chai serta Yang DiPertua Majlis Perbandaran Bentong, Dato’ Hajah Aida Munira Abdul Rafar.
Sementara itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, Pahang banyak menumpukan pelaburan dalam sektor pelancongan berikutan banyak tempat-tempat menarik di negeri ini menjadi tumpuan kepada pelancong dari dalam dan luar.
“Kita di Pahang ada Cameron Highlands dengan cuaca yang baik, Pulau Tioman, Taman Negara dan ini adalah kelebihan di negeri ini. Ini adalah ‘pulling factor’ (faktor penarik) untuk pelancong datang ke sini.
“Satu lagi lokasi-lokasi ini tidak jauh dari Lembah Klang, dan ini menambah mudah laluan pelancong dari kawasan sana,” katanya.
Untuk makluman, Antara di Genting Highlands merupakan salah satu projek terbaharu Aset Kayamas yang menawarkan 1,460 unit kediaman mewah merangkumi empat blok dengan ketinggian 44 dan 46 tingkat.
“Pembangunan di atas tanah keluasan 5.345 ekar ini turut menyediakan lintasan jambatan berbumbung yang bersambung terus dari Antara ke Resorts World Genting dan perhentian Chin Swee.
Sumber: PAHANGMEDIA