Pahang Lancar bizzakat Bantu Peniaga Promosi Perniagaan Mereka

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menandatangani bunting sebagai gimik perasmian aplikasi BizZakat di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

KUANTAN, 31 MAC 2021: Kerajaan Pahang menerusi Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) telah mewujudkan aplikasi BizZakat bagi membantu pengusaha dan peniaga Islam untuk mempromosikan perniagaan serta perkhidmatan mereka secara percuma di atas talian.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, aplikasi direktori BizZakat ini turut mempunyai keunikan tersendiri di mana barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan bukan sahaja halal tetapi ia turut ditawarkan sendiri oleh pembayar-pembayar zakat di negeri ini.

Pengurus Besar Pusat Kutipan Zakat Pahang, YH Dato’ Haji Halidan Md Daud ketika menyampaikan ucapan padan Majlis Pelancaran BizZakat di Pejabat PKZ Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, kepelbagaian barangan yang ditawarkan merupakan satu kelebihan yang menjadikan aplikasi ini mempunyai kekuatan tersendiri.

“Produk unik yang ada di Negeri Pahang seperti gula kabong, gulai asam rong, gulai asam tempoyak dan masakan ikan patin turut ditawarkan dan boleh didapati dalam aplikasi BizZakat dengan mudah,” katanya ketika merasmikan aplikasi ini secara atas talian di sini hari ini.

Hadir sama, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Datuk Bandar Kuantan, YH Dato’ Hamdan Hussin dan Penguruh Besar Pusat Kutipan Zakat Pahang, YH Dato’ Haji Halidan Md Daud.

Beliau juga berkata, menerusi BizZakat juga sektor perlancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 dapat dibantu dan dipergiatkan lagi promosinya.

“Kerajaan Pahang juga percaya BizZakat dapat membantu sektor pelancongan contohnya pelancong-pelancong yang ingin mendapatkan panduan atau perkhidmatan ditawarkan oleh pengusaha-pengusaha dengan mudah boleh mendapatkannya menerusi aplikasi ini,” katanya.

Dalam majlis itu juga YAB Menteri Besar Pahang turut menyeru rakyat Pahang supaya mendaftarkan diri menerusi Program Imunisasi COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera dan Sistem Imunisasi COVID-19 Pahang menerusi pautan vaksin.pahang.gov.my yang dibangunkan sendiri oleh Kerajaan Pahang.

Sementara itu, menurut Pengurus Besar PKZ, YH Dato’ Haji Halidan Md Daud, aplikasi BizZakat kini mempunyai keahlian seramai 2,584 ahli iaitu lebih daripada separuh jumlah pembayar zakat perniagaan di negeri ini.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, jumlah itu akan terus meningkat dalam masa terdekat apabila PKZ dapat menyiapkan maklumat untuk dimasukkan kedalam data BizZakat.

“Bizzakat ini dibina sebagai sebuah direktori bagi menyediakan promosi kepada para peniaga secara percuma dan disediakan pula untuk para pembeli membeli barangan dan perkhidmatan yang disediakan oleh ahli-ahlinya.

“Ahli-ahli BizZakat ini berada di setiap daerah di negeri Pahang dan ianya terdiri daripada beberapa kategori seperti peruncitan, perniagaan, tanaman dan pelbagai lagi jenis perkhidmatan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Beliau juga berkata ahli-ahli BizZakat juga terdiri daripada usahawan-usahawan asnaf yang telah mendapat bantuan zakat seperti modal atau peralatan yang telah disediakan oleh Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Sumber: PAHANGMEDIA