Pahang, MKN kaji SOP pelancongan, buka semula Bukit Fraser

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kerajaan negeri Pahang bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang mengkaji prosedur operasi standard (SOP) sesuai bagi membolehkan kawasan pelancongan Bukit Fraser, Raub kembali beroperasi dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata langkah berkenaan dibuat bagi menghidupkan semula sektor pelancongan di negeri ini yang sudah lama terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Penduduk di Bukit Fraser akan menerima suntikan kedua vaksin mereka hari ini dan Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak sedang meninjau kawasan itu bagi melihat SOP yang sesuai dengan norma baru bagi membolehkannya dibuka semula.

“Selain itu, penduduk Pulau Tioman juga dijangka lengkap menerima vaksin dalam masa terdekat, namun kita akan buka Bukit Fraser dahulu disusuli pulau berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Lanchang di Temerloh hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Sharkar berkata SOP di kawasan pelancongan itu juga akan dijadikan rujukan bagi membolehkan lokasi tumpuan pelancong lain di negeri ini seperti Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Taman Negara dan Taman Negeri dibuka kepada orang ramai.

Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri juga bercadang untuk mempercepat pemberian vaksin kepada pekerja restoran, motel, kedai cenderahati yang terlibat dengan sektor pelancongan bagi menyakinkan pelancong berkunjung ke lokasi itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lanchang itu berkata PPV yang mula beroperasi hari ini dijangka dapat memberikan suntikan vaksin kepada 600 penduduk sekitar Lanchang sehari.

Bagi memudahkan urusan penduduk untuk menerima vaksin, perkhidmatan dua bas dan sebuah van percuma turut disediakan kepada penduduk yang ingin ke PPV Dewan MPT, Lanchang dan Dewan Tun Razak, Temerloh.

“Mereka yang ingin menggunakan khidmat ini perlu mematuhi SOP dan bagi setiap perjalanan hanya 24 orang sahaja dibenarkan berada di dalam bas,” katanya.

Selain itu, pihaknya turut melakukan program vaksinasi di rumah melibatkan kira-kira 100 penduduk di daerah ini yang mengalami masalah kesihatan dan sukar untuk bergerak ke PPV.

Sumber: MalaysiaKini