Kerajaan Pahang akan memperkenalkan sistem penarafan bintang bagi premis perniagaan di setiap daerah di Pahang dalam usaha membudayakan normal baharu ketika pandemik Covid-19.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abd Rahim Muda berkata, penarafan itu dikawal selia pihak berkuasa tempatan (PBT) membabitkan daerah masing-masing.
“Sistem ini menggunakan kaedah sama dilaksanakan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) yang memulakan pemeriksaan ke atas 69 premis perniagaan sejak 4 November lalu mengikut spesifikasi pemarkahan ditetapkan.
“Daripada jumlah itu, dua premis perniagaan menerima penganugerahan lima bintang kerana berjaya melaksanakan pembudayaan normal baharu Covid-19 dengan kadar pematuhan tinggi. Premis itu ialah Pusat Jaja Dataran Sekilau dan Hotel Zenith Kuantan yang mendapat penarafan lima bintang,’
Menurutnya, sistem rating ini diwujudkan untuk memastikan keyakinan masyarakat ke atas premis perniagaan yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
“Contohnya dari segi pemeriksaan suhu, ‘hand sanitizer’ dan rekod kemasukan premis. Ini adalah usaha MPK yang sangat teliti dan praktikal bukan sahaja semasa pandemik, bahkan untuk waktu-waktu yang lain supaya masyarakat yang datang yakin bahawa premis tersebut mematuhi SOP ditetapkan.
Sistem ini akan dikembangkan ke seluruh premis di bandar-bandar mahupun luar bandar di seluruh negeri Pahang. Sementara itu, Yang Dipertua MPK, Datuk Hamdan Hussin berharap usaha MPK mewujudkan sistem pemarkahan bintang itu akan menjadikan peniaga lebih berdedikasi dan bertanggungjawab melaksanakan SOP Covid-19. – SINARHARIAN