JERANTUT : Kerajaan Pahang memperuntukan sebanyak RM7.5 juta bagi persediaan menghadapi bencana banjir di negeri ini yang dijangka berlaku akhir tahun ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia termasuk RM2.5 juta kos bekalan barangan keperluan makanan seberat 199 tan dihantar secara berperingkat ke 140 pangkalan hadapan seluruh negeri bermula dengan Pulau Tioman pada 30 Oktober lalu.
“Kita sentiasa bersedia kerana banjir ini boleh dikatakan satu perkara yang tidak dapat dielakkan dan ianya boleh dikatakan setiap tahun berlaku sama ada banjir besar, banjir kecil atau banjir kilat
“Jadi sebab itulah hari ini sebagai contohnya baru tiga hari bulan (November), kalau ikut ramalan (banjir) mungkin akhir bulan 12 atau bulan 1 tapi kita telah hantar barangan maknanya kita dah keluar kos RM2.5 juta dan duit (peruntukan) keseluruhan kita telah sedia RM7.5 juta sekiranya keadaan (bencana banjir) benar-benar berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan flag-off pelancaran misi penghantaran bekalan keperluan bencana Monsun Timur Laut 2021/2022 di pekarangan Majlis Daerah Jerantut di sini hari ini.
Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang, Encik Zulkhairi Zainol Abidin; Pegawai Daerah Jerantut, Puan Khairun Nissa Aris serta barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, keupayaan Negeri Pahang dalam menangani situasi banjir di tahap yang baik melalui kemahiran dan pengalaman yang dimiliki.
“Kita juga mempunyai Pengarah JKM yang sangat berpengalaman.. Telah beberapa kali menghadapi banjir dan ini bukan suatu perkara baru kepada Kerajaan Negeri.
“Terima kasih kepada JKM yang sentiasa siap siaga untuk menghantar bekalan makanan ke pengkalan hadapan untuk kita hadapi musim banjir. Terima kasih juga kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri iaitu YB Setiausaha Kerajaan Negeri serta exco yang bertangggungjawab,” katanya.
Menurutnya lagi, barangan keperluan yang diberikan meliputi sembilan item yang berkualiti, selamat dan bersih serta disimpan di pangkalan hadapan yang telah di sanitasi dan telah melalui proses pest control.
“Saya meninjau melihat barang-barang keperluan ianya meliputi beras, sardin, minyak, kari ayam dalam tin, biskut dan saya rasa memang memadai dan mencukupi.
“Kita berdoa semoga tidak berlaku banjir di negeri kita. Saya ucapkan terima kasih juga kepada Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, YAB Perdana Menteri Malaysia yang telah menaikkan bantuan kepada mereka yang terkesan iaitu daripada RM500 ke RM1,000. Semua yang terlibat dalam banjir lepas juga telah menerima bantuan sebanyak RM500,” katanya.
Sumber: PAHANGMEDIA