Pahang Pride Kid 2022 Galak Ibu Bapa Menabung Demi Masa Depan Bayi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Program Pahang Pride Kid 2022 yang ditawarkan oleh Kerajaan Pahang kepada setiap bayi yang dilahirkan di negeri ini menerima wang saguhati untuk kegunaan pembelian barangan penjagaan bayi dan ibu ketika berpantang dan simpanan masa depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri Lepar, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata, perlaksanaan program yang baru sahaja dilancarkan itu mendapat sambutan baik daripada rakyat khususnya ibu bapa yang bakal menimang cahayamata baru pada tahun ini.

“Program Pahang Pride Kid ini sangat dihargai oleh rakyat demi masa depan anak-anak dan generasi muda malah ia juga turut menggalakkan ibu bapa untuk menabung untuk masa depan anak mereka agar lebih terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada kunjungan ziarah bayi pertama di kawasan Dewan Negeri Paya Besar, di Felda Lepar Hilir 5, di sini, hari ini.

Sementara itu, ibu bayi, Puan Nurfarah Yante Mohd Hashim, 33, berkata, beliau dan keluarga sangat gembira dan bersyukur kerana tahun 2022 bukan sahaja menghadirkan orang baru dalam keluarga malah turut mendatangkan ‘tuah’ menerusi Program Pahang Pride Kid 2022.

“Saya sangat bersyukur dan bertuah dengan adanya Program Pahang Pride Kid ini dan saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak kerajaan negeri, YB Dato’ Abd Rahim dan semua pihak kerana sudi melawat kami di Felda Lepar Hilir 5 ini,” katanya.

Bayinya, Nayla Nur Aqilah Mohd Rizal, dilahirkan pada 1 Januari lalu di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, telah menerima kit berupa barangan penjagaan bayi dan ibu serta wang saguhati dalam bentuk simpanan dengan jumlah keseluruhan RM200.

Kerajaan Pahang telah memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi program Pahang Pride Kid dan akan dapat memberi manfaat kepada 25,000 ibu dan bayi yang dilahirkan di Negeri Pahang.

Berdasarkan data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, secara puratanya seramai 25,279 bayi dilahirkan di Pahang pada tahun 2020.

Sumber: PAHANGMEDIA