KUANTAN, 22 SEPTEMBER 2021 : Kerajaan Pahang sambut baik pembukaan Genting Highlands dan Pulau Tioman yang diumumkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB. Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri di Parlimen, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Lanchang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin berkata, hal berkenaan telah lama dinanti-nanti pemain industri yang tidak dapat kebenaran beroperasi akibat Covid-19.
“Kita menyambut baik cadangan Menteri Pelancongan iaitu untuk membuka Genting Highlands dan juga Pulau Tioman bagi negeri Pahang.
“Kita juga mencadangkan agar tempat-tempat seperti Bukit Fraser, Cameron Highlands, Kuala Gandah, Taman Negeri dan Taman Negara juga dibuka kerana tempat-tempat ini telah pun mematuhi syarat yang telah ditetapkan oleh MKN iaitu telah imuniti kelompok.
“Lebih 90 peratus (penduduk) yang menetap di situ telah mendapat vaksin, jadi kita harap Menteri Pelancongan dapat memberi pertimbangan sehabis baik kerana negeri Pahang ini besar dan banyak produk pelancongannya,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), hari ini.
Sementara itu Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar turut berharap agar tempoh yang ada untuk beroperasi sementara musim tengkujuh tiba dimanfaat sebaik mungkin oleh penduduk dan pemain industri di Pulau Tioman.
“Walaupun telah dibuka, kita berharap penduduk atau pemain-pemain industri di Pulau Tioman terutamanya bersabar kerana kita tahu pada bulan Disember, Januari dan Februari adalah musim tengkujuh.. maka semua tempat di pulau tersebut tidak lagi menerima kehadiran pelancong.
“Jadi kita harap dalam masa dua bulan ini ambillah kesempatan yang ada dan pastikan kita akan mematuhi dan mengikuti segala SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.
Sumber: PAHANGMEDIA