Pahang terima RM10.2 juta perolehan peralatan perubatan Covid-19

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Kerajaan Negeri Pahang menerima peruntukan RM10.2 juta daripada kerajaan Persekutuan untuk perolehan peralatan perubatan bagi menangani kes kritikal Covid-19 di tiga hospital di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman berkata, daripada jumlah itu, RM4.8 juta diperuntukkan kepada Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh (RM3.8 juta) dan Hospital Kuala Lipis, Lipis (RM1.6 juta).

“Peruntukan ini memastikan rawatan dapat diberikan dengan baik kepada pesakit bergejala serius iaitu kategori empat dan lima terutama di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Norol Azali menjawab soalan Chow Yu Hui (DAP-Tras) yang ingin mengetahui bilangan katil ICU di semua hospital kerajaan di negeri ini dan jika kerajaan negeri bercadang menambah bilangan bilangan katil itu.

Pada perkembangan berkaitan, Norol Azali berkata sehingga 20 Ogos lepas, Pahang merekodkan 394 kes kematian akibat Covid-19 dengan 166 pesakit direkodkan meninggal dunia di ICU.

Norol Azali berkata, kapasiti hospital di Pahang bagi merawat pesakit Covid-19 juga adalah mencukupi, selain terdapat juga dua hospital swasta yang memperuntukkan 80 katil untuk pesakit wabak itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata kerajaan negeri telah mengumumkan Bantuan Prihatin Pahang Covid-19 sebanyak RM7.8 juta secara bersasar bagi membantu mereka yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada 24 Mei lepas.

“Bantuan berkenaan antaranya meliputi sumbangan one-off (sekali beri) sebanyak RM250 kepada warga emas yang berumur 80 tahun ke atas selain bantuan yang sama kepada orang kurang upaya (OKU),” katanya ketika menjawab soalan Datuk Mustapa Long (BN-Padang Tengku) yang ingin mengetahui usaha membantu golongan yang tidak berpendapatan tetap.

Menjawab soalan tambahan Leong Yu Man (DAP-Triang) mengenai nasib ibu tunggal warga asing yang terpaksa menjaga anak-anak hasil perkahwinan dengan warga tempatan selepas suami mereka maut akibat Covid-19, Shahaniza berkata, mereka masih boleh memohon bantuan walaupun mengikut sistem mereka tidak layak menerimanya.

“Bantuan boleh diberikan secara terus melalui wakil rakyat. Kita juga telah wujudkan unit wanita dan sosial dan kita berikan bantuan berdasarkan aduan yang diterima. Malah kita juga membantu golongan rentan di Jalan Dato’ Wong Ah Jang (Kuantan) yang mana turut melibatkan ramai bukan warganegara,” katanya.

Pada perkembangan berkaitan, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan secara keseluruhan kerajaan negeri telah memperuntukkan peruntukan lebih RM49.7 juta untuk membantu penduduk negeri ini yang diberikan mengikut fasa sejak pelaksanaan PKP pertama pada tahun lepas.

Sumber: My Metro