KUANTAN – Sebanyak RM44.54 juta telah diperuntukkan di Pahang bagi kerja-kerja pembinaan dan pembaikan struktur rumah yang terjejas akibat banjir besar pada hujung tahun lepas, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata, selain kerajaan negeri, peruntukan juga diterima daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di samping mendapat sumbangan Keduataan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Katanya, 148 buah rumah telah musnah sepenuhnya akibat bencana tersebut dibina yang baru dengan mencecah harga RM75,000 bagi sebuah rumah jenis tidak bertiang, bagi harga RM100,000 untuk rumah bertiang, manakala kerja baik pulih melibatkan sebanyak 3,948 buah rumah dengan anggaran kos sehingga RM15,000 sebuah rumah.
“Kerja-kerja verifikasi dan pembaikan kerosakan rumah telah bermula seawal Januari lepas serta akan dijangka selesai sehingga Ogos ini, manakala kerja-kerja pembinaan rumah baharu akan bermula pada Jun ini dengan jangkaan selesai selewat-lewatnya pada September,” katanya.
Namun, tambah beliau lagi, kerajaan negeri telah melantik 90 kontraktor di seluruh negeri setakat ini dengan 13 lagi kontraktor dijangka dilantik dalam masa terdekat.
Wan Rosdy juga berkata, pihaknya juga akan melakukan pemantauan sepanjang kerja pembaikan dan pembinaan berjalan bagi memastikan rumah terlibat disiapkan sebaiknya untuk keselesaan mangsa yang telah diuji dengan bencana itu.
Sumber: BERNAMA