Pahang Terus Ambil Langkah Pre-Emptive Bagi Bendung Penularan Covid-19

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kerajaan Pahang terus mengambil langkah pre-emptive bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19 meskipun negeri ini tidak tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuatkuasa semalam.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antaranya ialah langkah-langkah kawalan oleh pasukan keselamatan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan meningkatkan sekatan jalan raya di lokasi-lokasi tertentu bermula 11 November ini.

Beliau berkata, ini khususnya bagi menyekat berlakunya rentas sempadan atau negeri terutamanya dari zon merah ke negeri ini.

“Langkah ini bukan bertujuan untuk menyusahkan rakyat tetapi demi memutuskan rantaian pandemik wabak ini yang sehingga kini belum ada vaksin ditemukan sebagai penawar. Sungguhpun begitu, PDRM masih mempunyai budi bicara dalam memberi kelonggaran menurut kes-kes tertentu seperti kecemasan atau kematian,”

YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy juga berkata, Kerajaan Pahang turut membenarkan maahad tahfiz dan sekolah pondok di negeri ini untuk terus beroperasi tetapi pelajar tidak dibenarkan keluar dari kawasan maahad dan sekolah berkenaan.

Beliau juga berkata, jika ada guru dari luar Pahang khususnya dari zon merah, mereka tidak dibenarkan kembali ke maahad atau sekolah untuk mengajar.

“Keputusan ini bergantung kepada keadaan. Jika terdapat sahaja kes jangkitan baharu di maahad atau sekolah ini maka arahan berhenti operasi akan dilakukan,” katanya.-PAHANGMEDIA