Pahang Terus Catat Pertambahan Mangsa Banjir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Pertambahan mangsa banjir di negeri ini terus dicatatkan pada hari kelima bencana berkenaan di mana hampir 40,000 mangsa dipindahkan setakat tengahari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, sehingga pukul 12 tengahari, sebanyak 280 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka dengan menempatkan 10,776 buah keluarga.

“Seramai 39,796 dipindahkan ke semua PPS yang dibuka di sembilan daerah selain lapan kematian telah dicatatkan. Kalau ikut semalam, lebih kurang 230 buah PPS dibuka melibatkan 6,000 buah keluarga (terdiri daripada) 24,000 mangsa, tapi hari ni dah lebih 39,000 orang.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman

“Seperti kita sedia maklum, di negeri Pahang ini yang juga negeri terbesar di kawasan Semenanjung, lingkaran air dari kawasan hulu ke hilir atau kita panggil travel time dijangka di kawasan sebelah hilir pula kita jangka banyak buka PPS (pertambahan mangsa banjir),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas pemantauan banjir di Kampung Cenderawasih, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata hasil siap siaga yang dilakukan dan juga penduduk telah dimaklumkan awal berkenaan menjadikan situasi banjir semasa dapat ditangani dengan baik.

“Bukan sahaja di Kuantan, kita lihat di seluruh Pahang semua daerah terjejas kecuali Cameron Highlands dan Rompin di mana Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) masih belum dibuka.

“Kebarangkalian air dah mula turun ke Temerloh, dan kemudian ke Bera, Rompin dan Pekan. Kita boleh jangka kerana ia (banjir) ni event tahunan, jadi boleh sedia dengan sebarang kemungkinan. Kita dah maklum kepada komuniti yang dijangka terlibat seperti berhampiran sungai, lembah dan sebagainya dengan lebih awal,” katanya.

Beliau menjelaskan, jika merujuk kepada ramalan Jabatan Metreologi Malaysia, sehingga 25 Disember ini tidak ada taburan hujan lebat yang boleh membawa kepada kejadian banjir.

“Namun aliran air atau travel time dari hulu itu akan menjadi punca banjir dan lebih banyak perpindahan melibatkan penduduk di kawasan hilir.

“Selain faktor air dari hulu tidak banyak dan tidak bertembung dengan air pasang, mungkin tidak berlaku perpindahan yang ramai,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata cabaran yang besar dilalui sepanjang menghadapi bencana banjir ialah penularan khabar tidak benar.

Katanya, perkara-perkara tidak sahih yang ditularkan sehingga menyebabkan petugas pergi ke kawasan tersebut, namun tidak berlaku seperti yang ditularkan.

“Satu lagi saya ingin menasihatkan semua NGO atau mereka yang ingin membantu agar melaporkan diri ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKPB) Daerah di setiap daerah yang terlibat untuk mendapatkan khidmat nasihat ke mana hendak pergi.

“Kita ada penyelarasan di situ ke mana (lokasi) nak pergi. Kita tak nak berlaku situasi seperti tahun 2013, 2014 dulu di mana semua (NGO) pergi satu tempat sehingga menyebabkan pembaziran dari segi sumber manusia,” katanya.

Beliau juga mengingatkan semua pihak sama ada mangsa atau petugas agar sentiasa menjaga SOP dalam melakukan usaha yang terbaik untuk kebaikan semua pihak.

Sumber: PAHANGMEDIA