JERANTUT : Keprihatinan Kerajaan Negeri tidak pernah terhenti malah pelbagai perancangan dilakukan secara berterusan termasuk berkenaan Rumah Rakyat Pahang (RRP) yang diberikan secara percuma kepada rakyat.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembinaan RRP akan diteruskan pada tahun hadapan dengan mengambil kira keadaan kewangan negeri.
“Sejak 2019, setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) diberi empat buah rumah dan sudah pasti angka tersebut tidak akan kurang.
“Apa yang sedang saya fikirkan adalah untuk tambah daripada empat buah kepada tambahan satu atau dua buah lagi… Semuanya bergantung kepada kewangan kerajaan negeri.
“Jadi Ahli Dewan Negeri (ADN) boleh memikirkan empat orang siapa yang nak bagi (layak).. bincang dengan DO (Pegawai Daerah) dengan syarat (penerima) ada tanah sama ada tanah sendiri atau kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Skim Tanah Rakyat (STR) Mukim Pulau Tawar dan Mukim Hulu Cheka, Notis 5A Mukim Pulau Tawar, Penyerahan Tujuh Buah Rumah Rakyat Pahang serta Wang Ihsan Banjir Daerah Jerantut di Dewan Terbuka, Kompleks Galeri Mat Kilau, Mukim Pulau Tawar, semalam.
Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Salehuddin Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah; Pegawai Daerah Jerantut, Puan Khairun Nissa Aris; Ahli Dewan Negeri (ADN) Tahan, YB Encik Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin dan barisan Exco Kerajaan Pahang.
Sementara itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menyampaikan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut kerana menyiapkan projek Rumah Rakyat Pahang dalam kadar segera.
“Mereka antara yang siap (rumah) awal dalam negeri Pahang. Polisinya kalau dah siap baru (Kerajaan Negeri) bagi (projek rumah) yang baru.
“Kita merasakan tanah adalah penting juga, ada yang ada duit tapi tiada tanah… Kita bagi tanah pertanian dulu dikenali sebagai Rancangan Tanah Kelompok (RTK) sebab kita fikirkan, rakyat diutamakan.. kita nak kembalikan kepada rakyat, kita tukar nama kepada Skim Tanah Rakyat (STR),” katanya.
Sumber: PAHANGMEDIA