Pahang Tubuh Jawatankuasa Hidupan Liar Pulihara Harimau Malaya

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Sebuah Jawatankuasa Hidupan Liar telah ditubuhkan di bawah Majlis Biodiversiti Negeri Pahang bagi mengetuai usaha bersepadu dalam memerangi pemburuan haram di negeri ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, penubuhan jawatankuasa ini juga adalah salah satu usaha pemuliharaan Harimau Malaya di negeri ini.

“Negeri Pahang mempunyai keluasan hutan yang besar, iaitu kira-kira 57 peratus daripada keluasan negeri yang mampu menyediakan habitat sesuai untuk harimau dan jauh daripada penempatan manusia.

“Justeru usaha dan keberkesanan dalam memerangai aktiviti pemburuan dan perdagangan haram akan gagal jika tidak seiring dengan penekanan yang sama terhadap perlindungan hutan,” titah baginda menerusi satu kenyataan media bersempena dengan Hari Harimau Sedunia yang disambut pada 29 Julai setiap tahun.

Baginda bertitah, Unit Renjer Hidupan Liar Pahang juga telah dibentuk untuk menggerakkan operasi bersepadu dalam memerangi pemburuan haram di negeri ini.

“Selain itu, kempen Selamatkan Harimau Malaya juga telah membantu meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap isu ini. Inisiatif ini selari dengan usaha Pasukan Petugas Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (MyTTF),” titah baginda.

Dalam kenyataan itu juga, baginda turut meminta Kerajaan Negeri agar meningkatkan usaha penguatkuasaan dalam melindungi hidupan liar dan hutan simpan di negeri ini supaya dapat menjalankan amanah menegakkan undang-undang demi manfaat semua.

Baginda turut menggalakkan golongan belia dan anak muda supaya dapat memainkan peranan dengan memanfaatkan teknologi maklumat untuk mendidik diri tentang kepentingan harimau dan habitatnya kepada ekosistem hutan, ancaman yang dihadapi oleh harimau dan menyebarkan kesedaran berkaitan harimau di kalangan masyarakat.

KDYMM Pemangku Raja juga turut menyeru semua pihak agar terus komited dan bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan spesies kebanggaan negara ketika diancam oleh kepupusan harimau dengan hanya 150 ekor harimau sahaja di Malaysia.

Sumber : PAHANGMEDIA