Palestin kini guna poskod sendiri elak rampasan dari pihak Israel

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
-Foto Sekadar Hiasan

Palestin mula menggunakan poskod sendiri, sebagai langkah memudahkan penghantaran bungkusan atau surat di wilayah yang dijajah, selain mengiktiraf kedaulatan negara itu. 

Sebelum ini, surat antarabangsa yang dihantar ke atau dari Tebing Barat perlu melalui Jordan mahupun negara haram Israel. 

Atas sebab itu, surat yang dihantar ke Tebing Barat terpaksa ditapis oleh rejim pengganas Israel – yang mengendalikan kemasukan barang di wilayah dijajah berkenaan. 

Semalam, Pihak Berkuasa Palestin (PA) memaklumkan, pihaknya telah meminta Universal Postal Union memberitahu negara-negara anggota bahawa poskod Palestin mula berkuat kuasa. 

Projek poskod akan membantu mewujudkan sistem alamat Palestin yang memudahkan mel, dan menjadi komponen penting dari sudut infrastruktur yang memungkinkan sektor awam dan swasta memberikan perkhidmatan dengan cara bergantung pada lokasi geografi.

“Mulai bulan April, barang pos yang tidak mengandungi kod pos Palestin tidak akan diproses.

“Ini adalah mengenai hak Palestin,” kata Menteri Perhubungan Palestin, Ishaq Sidr kepada media semalam. 

Ishaq berkata, poskod Palestin juga akan membantu menghentikan tindakan penyitaan penghantaran dari luar negara dan menyekat Israel merampas atau melupuskan barang ke negara itu. 

Katanya, enam tan bungkusan telah ditahan di Jordan sejak 2018 dan yakin negara penjajah Israel menjadi punca yang menghalang penghantaran itu. 

“Pada tahun 2020, kita mencatatkan lebih 7,000 pelanggaran penghantaran pos di pihak Israel, sama ada membuka bungkusan atau memanggil pemiliknya untuk disiasat,” katanya.-  Agensi

Sumber: IsmaWeb