Palestin kutuk Czech buka pejabat perwakilan di Baitulmaqdis

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
– Foto Sekadar Hiasan

BAITULMAQDIS, 2 Sya’ban 1442 H, Selasa : Palestin membidas tindakan Republik Czech yang membuka pejabat perwakilan di kota ini pada 11 Mac lalu yang bergabung dengan kedutaannya di Tel Aviv.

Palestin menyifatkan tindakan itu sebagai perlanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa.

Kementerian Luar Palestin menerusi satu kenyataan mengutuk langkah Prague itu yang disifatkan sebagai ‘serangan terbuka’ terhadap rakyat Palestin, hak mereka dan perlanggaran jelas undang-undang antarabangsa.

Kementerian itu turut menganggap Czech bertanggungjawab terhadap kesan daripada keputusan berkenaan yang bukan hanya mengganggu proses damai di Asia Barat namun hubungan antara Palestin, Arab dan negara Islam lain.

Ia turut mendesak negara Kesatuan Eropah (EU) dan barisan menteri luarnya selain Ketua Dasar Luar EU, Josep Borrell, supaya mengambil langkah masuk campur, sekali gus meminta Prague menarik semula keputusan terbabit.

Perasmian pembukaan pejabat perwakilan itu dihadiri Perdana Menteri Czech, Andrej Babis dua minggu selepas Israel menghantar 5,000 dos vaksin COVID-19, Moderna kepada Republik Czech. Menteri Luar Israel, Gabi Ashkenazi turut menghadiri majlis itu.

Sementara itu di Kaherah, Setiausaha Agung Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit dalam kenyataannya mendakwa status sah Baitulmaqdis akan terkesan dengan keputusan negara membuka pejabat perwakilan mereka.

“Baitulmaqdis Timur adalah tanah diduduki di bawah undang-undang antarabangsa,” katanya.

Kenyataan itu dengan tegas mendakwa tindakan Czech akan mengakibatkan kesan dramatik terhadap usaha menyambung semula rundingan damai antara Palestin dan Israel.

Banyak negara EU menolak untuk memindahkan kedutaan mereka ke Baitulmaqdis sementara menunggu perjanjian muktamad antara Israel dan Palestin mengenai isu kota suci itu.

Di antara semua negara EU, hanya Hungary mempunyai pejabat diplomatik di Baitulmaqdis. Seluruh negara di dunia kecuali Amerika Syarikat (AS) dan Guatemala menolak untuk memindahkan kedutaan mereka dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis. – AGENSI