Pan Gon Nak Main Di ‘Rumah’ Harimau Malaya

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon mahu aksi pertama kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan, 16 November ini kekal berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Menyifatkan Stadium Nasional sebagai ‘rumah’ Harimau Malaya, pengendali dari Korea Selatan itu percaya bahawa padang di gelanggang berkenaan akan bertambah baik berbanding ketika Pestabola Merdeka 2023, bulan lalu.

Keyakinan itu diluahkan Pan Gon selepas beliau bersama pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) melakukan tinjauan di gelanggang keramat Harimau Malaya, semalam.

“Dari segi teknikal, keadaan padang di Stadium Nasional pasti akan lebih baik menjelang tempoh dua minggu yang akan datang. Walaupun bukanlah 100 peratus, cukup untuk kita bermain di atas permukaan yang lebih baik berbanding sebelum ini.

“Lagi pun untuk aksi bertemu Kyrgyzstan ini hanyalah satu perlawanan, sebelum kami terbang ke Taiwan untuk perlawanan kedua pada 21 November.

“Jadi harapan saya, perlawanan 16 November ini akan kekal berlangsung di Bukit Jalil dan saya juga berharap penyokong Harimau Malaya dapat datang beramai-ramai memberikan sokongan kepada pasukan kita bagi memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri,” katanya.

Sebelum ini, padang Stadium Nasional yang baharu dinaik taraf menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia rosak teruk dan mendapat kritikan hebat ketika ia ‘dirasmikan’ Harimau Malaya dalam perlawanan sulung Pestabola Merdeka 2023 berdepan India, 13 Oktober lalu.

Malah, gelanggang sama turut digunakan bagi aksi final antara Malaysia dan Tajikistan, empat hari kemudian yang menyaksikan padang berkenaan juga masih mengalami kerosakan.

Selain itu, Pan Gon menganggap aksi di Stadium Nasional bakal memberi banyak kelebihan kepada Harimau Malaya untuk mendapatkan keputusan positif dalam aksi sulung Kumpulan D berdepan Kyrgyzstan.

“Stadium Nasional, Bukit Jalil adalah rumah Harimau Malaya. Penyokong dan pemain sendiri sudah cukup biasa dengan suasana di stadium ini. Ia kubu kuat pasukan Harimau Malaya.

“Besarlah harapan saya supaya perlawanan pertama kempen kelayakan menentang Kyrgyzstan akan tetap dapat dilangsungkan di Stadium Nasional.

“Selain memudahkan urusan kehadiran penyokong memandangkan Stadium Nasional terletak di Lembah Klang, ia juga membantu mengurangkan tempoh perjalanan pasukan Harimau Malaya sendiri berbanding jika aksi di gelanggang sendiri ini dilangsungkan di luar Lembah Klang,” katanya.

– BERITA HARIAN