Pan Gon sasar 12 mata, minta penyokong ‘gerunkan’ Kyrgyzstan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
PETALING JAYA: Selepas tujuh mata disasarkan untuk ke Piala Asia 2023 namun enam mata diperoleh, pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon kini ‘memburu’ 12 mata minimum bagi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Pengendali dari Korea Selatan itu percaya ‘angka 12’ itu sudah cukup buat skuad Harimau Malaya melayakkan diri ke pusingan ketiga kelayakan sekali gus mengesahkan slot selaku 18 pasukan terbaik Asia.

Tegasnya, menjadi satu daripada 18 pasukan terbaik Asia sememangnya objektif mereka dan langkah itu bermula dengan aksi pertama berdepan Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

“Ini satu cabaran yang besar untuk kita kerana kita tahu Malaysia berada di ranking ke-137 dunia. Negara lain pasti akan tertawa apabila kita sasarkan untuk menjadi 18 pasukan terbaik Asia tetapi ini adalah impian kita.

“Kita mahu mencabar pasukan terbaik di Asia. Jadi kalau kita boleh dapat 12 mata, itu sudah cukup baik. Tetapi kalau dapat 13 mata, itu lebih bagus,” katanya pada sidang media pra perlawanan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Dalam masa sama, Pan Gon turut menyeru ‘pemain ke-12’ supaya dapat membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bukan hanya untuk memberi sokongan kepada pemain tetapi untuk mencetuskan suasana yang ‘menggerunkan’ Kyrgyzstan.

“Perlawanan ini sangat penting buat kita jadi kita mahu penyokong turut sama berjuang. Kita perlukan sokongan mereka dan mereka perlu datang untuk membantu kami merealisasikan misi menjadi 18 pasukan terbaik Asia.

“Kita harus wujudkan suasana yang menakutkan Kyrgyzstan kerana tanpa kehadiran penyokong, kita tidak boleh melakukan seperti itu. Saya harap mereka boleh datang untuk memberi sokongan kepada kami,” katanya.

Sebagai rekod, setakat pagi ini, FAM memaklumkan hanya kira-kira 7,000 keping tiket dijual untuk aksi pertama kelayakan membabitkan Malaysia menentang Kyrgyzstan.

Sumber: Berita Harian