Panjat Pokok Kelapa Guna Motosikal, Petani India Reka Alat Khas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Oleh Najmi Mamat

Kerja memetik buah kelapa selalunya menggunakan tenaga manusia yang melibatkan aktiviti memanjat. Lazimnya, di negara kita, pengusaha pokok kelapa atau pinang akan menggunakan kepakaran haiwan yang dilatih seperti kera untuk tugas memanjat sebuah pokok yang tingginya boleh mencecah sehingga 100 kaki.

Namun berbeza situasi di India apabila seorang petani, Ganapathi, mencipta alat khas bentuknya seperti motosikal untuk memanjat pokok pinang.

Video petani berusia 48 tahun ini mula tular di media sosial apabila dilihat duduk ditempat duduk, menghidupkan enjin dan memegang klac serta pemecut serentak dan membawanya hingga ke atas pokok.

Ciptaan motosikal panjat pokok yang inovatif ini bukan sahaja dijamin selamat namun lebih dari itu. Jika seorang manusia mungkin mengambil masa selama lapan minit tetapi motosikal ini berupaya meningkatkan hasil kerja sepantas 30 saat hingga satu minit sahaja.

“Jika dibandingkan dengan semua alat yang terdapat di pasaran, saya pasti ini merupakan satu penanda aras kerana dengan ciptaan ini ia memudahkan kerja memanjat ke atas dan boleh turun semula,” kata seorang petani kepada agensi berita India, ANI News.

Lebih menarik, petani-petani lain di kawasan itu turut tertarik dengan alat ciptaan Ganapathi ini dan mula datang ke rumahnya di Sajeepamuda, Bantwal untuk menyaksikan sendiri kebolehan motosikal itu.

Aktiviti memanjat pokok pinang ‘Areca’ ini dianggap penting kerana ia bukan sahaja bertujuan untuk menyembur racun serangga pada musim tengkujuh tetapi juga untuk proses memetik pada hujung tahun.

Sumber: ANI News

Foto ANI News