Pantai Nusuk tarikan baharu pelancongan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Kawasan pelancongan baharu di Pantai Nusuk yang terletak di Kampung Sabak, Pengkalan Chepa, di sini, mendapat sambutan apabila menerima kunjungan lebih 100 orang sehari.

Pantai itu dahulunya dikenali sebagai Pulai Bernai sebelum ditukar kepada Pantai Nusuk berikutan lokasinya tersorok dan tidak diketahui ramai.

Pengurus pantai berkenaan, Tajuddin Ab Kadir berkata, pantai itu dibuka sempena Hari Malaysia pada 16 September lalu bagi memudahkan orang ramai berkelah atau bersantai bersama keluarga.

Katanya, sebaik dibuka, dia tidak sangka pantai itu menjadi tular dan dikenali ramai dalam masa singkat.

“Sebelum ini, kawasan ini dipenuhi semak-samun dan saya serta rakan kongsi melihat lokasi ini menarik dan boleh dimajukan sebagai pusat pelancongan.

“Memandangkan tanah ini milik persendirian, kami menyewa lokasi ini dengan penduduk kampung dan membuat perjanjian sebelum mulakan kerja membersihkan kawasan.

“Kami mengambil masa lebih dua tahun untuk membersihkan kawasan ini dengan kos RM50,000 selepas melihat kawasan ini berpotensi untuk menjadi pusat pelancongan baharu,” katanya ketika ditemui, semalam.

ORANG ramai bersantai di Pantai Nusuk. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
ORANG ramai bersantai di Pantai Nusuk. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Menurutnya, untuk mencantikkan kawasan, mereka meletakkan kayu dan dalam proses membina buaian serta tempat letak kereta yang luas.

Katanya, pihaknya memohon pembinaan tandas awam daripada pihak berkuasa bagi memudahkan orang awam untuk berkunjung ke lokasi itu.

“Kami mengenakan bayaran tempat letak kereta RM2 bagi menampung kos penyelenggaraan termasuk membersihkan kawasan dan pekerja untuk memantau prosedur operasi standard (SOP) ketika pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Pengunjung, Nur Fatimah Ab Wahab, 23, berkata, dia mengetahui lokasi itu selepas ia tular di Facebook.

Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu berkata, dia datang dari Wakaf Che Yeh bersama dua rakan dan tidak sangka lokasi itu menarik.

“Lokasi ini lebih selamat dan selesa kerana tidak ramai orang. Pada musim pandemik Covid-19 saya mahu mengelak daripada ke kawasan terlalu ramai pengunjung.

“Saya lihat pengunjung menjaga SOP,” katanya yang sudah lengkap dua dos vaksin.

Sumber: My Metro