Kota Bharu: Fenomena ‘pantai terbelah’ sepanjang lebih satu kilometer menjadi tarikan baharu kepada orang ramai untuk berkunjung ke Pantai Mek Mas, Kuala Besar di sini.
Fenomena sejak lebih sebulan lalu itu terjadi disebabkan air surut yang kemudian membentuk beting pasir hingga membolehkan pengunjung berjalan untuk ke tengah lautan.
Tinjauan di lokasi mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang berkunjung ke pantai itu untuk sama-sama melihat ‘pantai terbelah’ berikutan ianya tular di Facebook dan TikTok sejak beberapa hari yang lalu.
Pengunjung juga patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan memakai pelitup muka dan jaga penjarakan sosial bagi membendung wabak Covid-19.
Penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Nurul Afiqah Mazeni, 20, berkata, fenomena itu sangat unik berikutan di tengah-tengah laut menjadi terbelah dua.
“Saya mendapat tahu ‘pantai terbelah’ ini selepas ianya tular di TikTok dan menarik perhatian untuk saya datang melihat sendiri kejadian ini. Saya tidak sangka fenomena ini betul-betul terjadi.
“Ini adalah pengalaman baru buat saya kerana selama ini hanya boleh berjalan di pesisir pantai sahaja, namun kali ini saya boleh berjalan di tengah-tengah seolah-olah berada di permukaan laut,” katanya ketika ditemui di pantai berkenaan semalam.
Menurutnya, walaupun orang ramai, namun mereka patuh SOP dan sentiasa menjaga diri untuk elak penularan wabak Covid-19.
Suri rumah, Noriah Hassan, 61, dari bandar Machang berkata, dia datang bersama anak-anak ke lokasi itu untuk pertama kalinya kerana mahu melihat ‘pantai terbelah’.
“Kami datang dari jauh untuk lihat keunikan lokasi ini yang dikatakan terbelah. Alhamdulillah saya dapat lihat sendiri dan ianya benar-benar ada.
“Selain fenomena itu, lokasi ini juga mempunyai tarikan yang lain termasuk timbunan pasir seolah-olah seperti padang pasir,” katanya.
Sementara itu, penduduk setempat, Mohd Yusoff Mohamad, 37, berkata, ‘pantai terbelah’ itu terjadi lebih sebulan lalu yang menjadi tarikan kepada orang kampung dan dari luar untuk berkunjung ke lokasi itu.
Katanya, beting pasir itu terbentuk kemungkinan kerana air laut surut dan sebelum ini berdekatan lokasi itu ada projek mengorek pasir oleh sebuah kapal.
“Kemungkinan pasir berkumpul di lokasi itu yang membentuk beting dan menjadikan lokasi itu lebih tinggi. Ianya seolah-olah menjadikan ‘pantai terbelah’,” katanya.
Sumber: My Metro