Pantai Tercemar Kerana Sampah Dibawa Ombak

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Tumpat: Pergerakan ombak dengan gelombang besar sejak beberapa hari lalu membawa bersama sampah sarap menjadikan kawasan Pantai Geting, di sini, tercemar.

Pemandangan menyakitkan mata itu boleh dilihat di sepanjang 300 meter (m) di pantai itu apabila longgokan sampah sarap kebanyakannya botol plastik dihanyutkan ombak besar, bermula awal bulan ini.

Seorang pengunjung, Maziah Hassan, 40, berkata, dia terkejut sebaik tiba di lokasi peranginan itu untuk berkelah bersama keluarga dan mendapati timbunan sampah di sepanjang pantai, hari ini.

“Saya sangkakan sampah itu dibuang pengunjung, tapi sebaik dilihat lebih dekat, kebanyakannya botol plastik dan diberitahu ia dibawa ombak yang menghempas pantai sejak beberapa hari lalu.

“Walaupun pemandangan itu agak menyakitkan mata, tapi mengenangkan sudah tiba di sini dengan niat untuk berkelah, kami teruskan tujuan itu,” katanya ketika ditemui.

Tinjauan dibuat di pantai itu mendapati ramai pengunjung datang berkelah, mandi manda dan beriadah menaiki kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) tanpa menghiraukan longgokan sampah sarap dipercayai masih baharu itu.

Kelihatan beberapa individu sedang memilih botol plastik atau bahan lain dalam timbunan itu yang boleh diguna atau dijual.

TINJAUAN di Pantai Geting mendapati ramai pengunjung yang datang berkelah tanpa menghiraukan longgokan sampah sarap. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
TINJAUAN di Pantai Geting mendapati ramai pengunjung yang datang berkelah tanpa menghiraukan longgokan sampah sarap. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Tumpat (MDT), Rusydee Abdullah berkata, pihaknya sudah membuat pemantauan beberapa kali ketika kejadian ombak besar sejak minggu lalu.

Beliau berkata, kejadian ombak besar sehingga mencecah 1.4m itu menghanyutkan banyak sampah sarap ke pantai termasuk botol, kayu dan plastik.

“Kebetulan pantai ini terletak berhampiran dengan muka kuala menyebabkan ombak besar membawa segala sampah yang hanyut naik ke tebing seterusnya menjadi longgokan yang mencemarkan pemandangan.

“Berdasarkan maklumat diterima, kejadian ombak besar itu sudah bermula sejak awal bulan ini sehingga sekarang dan ketinggian ombaknya antara 1.2m hingga 1.4m.

“Kami akan bersihkan segala sampah sarap di sepanjang pantai sejauh 300m itu sebaik kejadian ombak besar berakhir, namun pihak MDT akan pantau dari semasa ke semasa,” katanya.

Sumber: My Metro