KUALA TERENGGANU – Bacaan paras air di beberapa sungai terutama Sungai Nerus mula menunjukkan trend meningkat berikutan hujan sederhana lebat sejak pagi kelmarin.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri, Hanafiah Mat berkata sehingga jam 2 petang tadi, Sungai Nerus di Kampung (kg) Langkap, Setiu yang merekodkan bacaan 17.54 meter (m) melepasi paras normal 17.00 m.
“Sungai Nerus di Kg Bukit juga menunjukkan trend menaik dari paras normal 6.00 m ke 7.83 m.
“Dua sungai di Setiu yang melepasi paras normal adalah Sungai Nerus di Kampung Besut dengan bacaan 14.83m dan Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri yang berada pada paras 6.03 m,” katanya ketika dihubungi.
Tambah beliau, di Kemaman, Sungai Kemaman di Air Putih dan Paya Raman turut merekodkan bacaan menaik dari paras normal.
Sementara itu katanya, lima lagi sungai kini direkodkan melepasi paras normal membabitkan tiga sungai di Dungun dan dua di Hulu Terengganu.
Justeru itu, Hanafiah berharap semua jawatankuasa bencana peringkat negeri dan daerah sudah berada dalam kesiapsiagaan serta bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku banjir pada bila bila masa.
“Sekiranya berlaku kenaikan air yang mendadak, kita minta supaya semua penduduk jangan panik dan bersiap sedia untuk keluar mendaftar di pusat pemindahan sementara.
“Jangan tunggu air tinggi dulu baru nak pindah, jaga keselamatan keluarga kita,” ujar beliau.
Sumber: TRDI News