Paras Sungai Golok Kembali Meningkat, 60 Rumah Alami Banjir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Paras air Sungai Golok meningkat kepada paras amaran dengan bacaan 8.4 meter (m) petang ini.

Keadaan itu menyebabkan Kampung Tersang di Rantau Panjang dilanda banjir sejak Jumaat lalu yang membabitkan 60 buah rumah.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Mohd Adzhar Mujab, berkata pada masa yang sama enam keluarga berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh sejak semalam.

“Walaupun lokasi itu tidak hujan, namun paras air Sungai Golok meningkat dan berada di paras amaran, namun ia masih stabil.

“Kita minta penduduk di lokasi itu supaya bersedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan termasuk air naik. Mereka faham dengan keadaan itu dan meletakkan barang penting di tempat yang selamat,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga sentiasa membuat pemantauan untuk memastikan keselamatan penduduk kampung yang berdepan dengan banjir.

“Pihak kita membuat pemantauan berdasarkan notis semasa yang diterima daripada jabatan teknikal APM. Minggu lalu kita menerima notis ini dan anggota bertugas membuat pemantauan di lapangan.

“Jika berlaku limpahan air sungai, kita akan bertindak cepat untuk membantu penduduk kampung yang dilanda banjir,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN