Rantau Panjang: Paras air sungai Golok kembali melebihi paras amaran dengan bacaan 8.05 meter setakat jam 8.15 pagi, hari ini, susulan taburan hujan yang tinggi sejak petang kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba, Imran Ismail, berkata penduduk terutama yang tinggal berdekatan tebing sungai dinasihatkan untuk berhati-hati kerana situasi air menunjukkan trend menaik.
Katanya, rekod paras air Sungai Golok menunjukkan tahap waspada pada bacaan tujuh meter, manakala amaran pula lapan meter diikuti paras bahaya melebihi sembilan meter.
“Bagaimana pun, pekan Rantau Panjang biasanya mulai dilimpahi air selepas bacaan paras Sungai Golok melebihi 10 atau 11 meter yang mana berkemungkinan besar berlaku jika hujan masih turun dengan lebat dalam tempoh masa dua atau tiga hari tanpa henti.
“Keadaan semasa ini boleh mengakibatkan beberapa kawasan rendah dinaiki air terlebih dahulu seperti Kampung Luar, Kampung To’Deh, Kampung Lachang dan Kampung Pengkalan Rakit.
“Pertengahan November lalu, kita sudah dikejutkan dengan kejadian banjir tetapi lebih kepada bah yang bertakung, bukanlah membabitkan situasi kritikal seperti kebiasaan, justeru hujan lebat kali ini agak membimbangkan kerana boleh menjadi gelombang pertama,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my, selain Sungai Golok, turut menunjukkan bacaan melebihi paras berjaga-jaga selain berada dalam trend menaik ialah Sungai Kelantan di Kuala Krai denga bacaan 20.17 meter setakat jam 8.15 pagi ini.
Sementara itu, salah seorang penduduk di tebing Sungai Golok, Saema Ibrahim,39, berkata dia sudah menjangka kenaikan paras air sungai setelah hujan tidak berhenti sejak kelmarin selain cuaca yang mendung.
“Saya dapat lihat aliran sungai juga agak deras yang mana ia antara petanda awal kenaikan paras air menyebabkan saya sekeluarga mengambil keputusan mengemas barangan yang penting, risau air mula membanjiri rumah kami.
“Tambahan pula, jika diikutkan banjir belum melanda lagi, agak lewat untuk tahun ini kerana pada kebiasaannya, sekarang kami sudah menempuh gelombang kedua atau ketiga banjir,” katanya.
Sumber: My Metro