PAS Kuasai Kesemua 32 Kerusi Di Terengganu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Perikatan Nasional (PN) memenangi kesemua 32 kerusi yang dipertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu semalam sekali gus menyaksikan buat julung kalinya, tiada wakil pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Gabungan PAS dan Bersatu, yang bertanding menggunakan logo ‘Bulan,’ membentuk kerajaan negeri di Terengganu setelah menjalinkan kerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Pada PRN kali ini, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Naib Presiden PAS mempertahan kerusi Ru Rendang dengan majoriti 17,286 setelah memperoleh 20,927 undi untuk mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH) Suhaimi Sulaiman yang meraih 3,641 undi.

Bekas Menteri Besar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Said pula bertanding atas tiket PH-BN namun kalah apabila hanya memperoleh  9,645 undi berbanding 13,403 undi yang dimenangi calon PAS, yang juga merupakan Pengerusi Bersatu Datuk Razali Idris.

Seorang lagi bekas Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman tewas di kerusi Seberang Takir setelah mendapat 9,359 undi berbanding Khazan Che Mat daripada Bersatu (PAS) yang memperoleh 12,156 undi.

Satu-satunya calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) di Terengganu, Luqman Long, yang bertanding di DUN Bandar dan calon Bebas di DUN Hulu Besut, Dr Che Harun Kamariah, hilang deposit selepas masing-masing sekadar meraih 372 dan 180 undi.

Sementara itu, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang percaya proses semak dan imbang masih boleh berfungsi meskipun tiada wakil pembangkang dalam DUN Terengganu.

Ahli Parlimen Marang itu berkata kemenangan mutlak di 32 kerusi DUN akan memberikan lebih kekuatan kepada PAS Terengganu untuk memimpin negeri tersebut dan banyak masalah berbangkit boleh diselesaikan.

“Walaupun tiada pembangkang tetapi Ahli Dewan sendiri boleh nasihatkan kerajaan. Kita akan galakkan budaya nasihat dalam dewan dan rakyat juga bebas untuk menyuarakan kritikan melalui saluran yang betul,” katanya pada sidang media selepas pengumuman keputusan PRN dan Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu di Masjid Rusila di sini semalam.

Ahmad Samsuri pula berkata kerajaan negeri tiada masalah untuk meneruskan kerjasama baik dengan Kerajaan Persekutuan.

“Kami di negeri ini sangat terbuka, jadi kita mengharapkan kerajaan Pusat dapat berlapang dada untuk menerima keputusan rakyat Terengganu ini,” katanya.

— BERNAMA