Pasal Bola Pun Gaduh…

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA BERANG – Provokasi melampau dipercayai punca antara 15 hingga 30 penyokong bola sepak bergaduh sehingga menyebabkan ada kemudahan dalam kawasan Padang Astaka Kuala Berang dan cermin kedai berhampiran rosak.

Insiden itu ketika perlawanan bola sepak peringkat suku akhir membabitkan pasukan mewakili dua kampung petang semalam yang berkesudahan Kampung Matang FC menang dengan jaringan 1-0 menentang Bima FC.

Difahamkan kedua-dua pasukan berentap pada Kejohanan Bola Sepak Piala Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata selepas tamat perlawanan, berlaku provokasi antara kedua-dua belah pihak hingga mencetuskan kekecohan di luar kawasan padang.

“Kedua-dua belah pihak melakukan provokasi melibatkan anggaran 15 hingga 30 lelaki di kawasan premis sebuah kedai makan berhampiran kawasan perlawanan,” katanya.

Menurutnya, kira-kira jam 6.55 petang, polis mengerah anggota peronda ke tempat kejadian bagi mengawal keadaan sebelum kekecohan berjaya dileraikan tidak lama kemudian.

“Siasatan mendapati beberapa kerosakan pada pagar padang bola sepak, cermin dinding sebuah kedai makan turut pecah. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu sudah memanggil penganjur perlawanan dan pengurusan kedua-dua pasukan terbabit ke IPD Hulu Terengganu untuk menjalankan siasatan berkaitan kejadian.

“Setakat ini tiada tangkapan dibuat memandangkan pihak berkaitan belum membuat laporan polis,” katanya meminta penyokong pasukan bola sepak lebih rasional dan tidak melakukan provokasi melampau yang boleh mengundang rasa tidak puas hati dan mencetuskan pergaduhan.

Sumber : BERITA HARIAN