Dalam Bahasa melayu bila kita sebutkan perkataan “kehormatan” nadanya seakan berkaitan tentang maruah diri dan majlis keramaian. Namun dalam Bahasa inggerisnya “Respected” pada saya sendiri ada banyak makna iaitu yang ditekankan disini bermaksud “rasa dimuliakan dan dijaga harga diri”. Ini yang barangkali tepat dalam konteks tajuk yang saya ingin huraikan.
Pernah tidak, anda mengenali sosok pasangan yang selalu jadikan anda sebagai barang ‘trofi’ kejayaan bagi dia? Sebagai contoh, bila hendak memperkenalkan siapa anda dalam kalangan rakan-rakannya atau orang sekeliling, dia akan perkenalkan anda dari sudut naratif yang dia boleh banggakan semata-mata seperti faktor luaran sahaja.
Misalnya, anda bekerjaya hebat atau anda seorang yang cantik, atau anda memiliki latar belakang yang dipandang mulia secara luaran. Dia akan sebut-sebutkan hal itu di depan rakan taulannya malah enggan mempamerkan peribadi anda yang asli.
Memperdagangkan apa pekerjaan anda, bagaimana rupa anda di sosial media, siapa anda dalam pandangan masyarakat itu semua menjadi keutamaannya. Maka barangkali anda bersama dengan seorang yang bersikap narsistik (pentingkan diri dan rasa diri hebat).
Dalam sebuah esei psikologi yang ditulis oleh Theresa E. DiDonato (PHD) seorang ahli psikologi sosial telah melakukan ulasan kepada sebuah kajian mengenai keterkaitan antara sikap narsistik dengan menjadikan pasangan sebagai objek/barang dagangan semata-mata.
Dalam ulasan itu, beliau memberitahu bahawa ada dua petunjuk dalam kajian bahawa orang yang bersikap narsistik ada kecenderungan untuk menghinjak maruah pasangannya demi meraih harga dirinya di hadapan orang lain.
Keduanya, pasangan yang bersikap narsistik akan menganggap anda sebagai pesaingnya dalam mendapatkan validasi pujian orang lain semasa dia cuba tonjolkan perhubungan dia dan anda di sosial media atau secara umum.
Dua Stratergi Pasangan Narsistik Untuk Menonjolkan “Self-Inflated” (Mempotretkan Diri)
1. Kedepankan Kekaguman Diri : Contohnya dia akan promosi diri dia di hadapan orang ramai dan betapa beruntungnya anda dapatkan orang yang kacak, bergaya, berjaya macam dia. Cara ini lebih dekat dengan cara menghinjak atau merendahkan harga diri anda dalam nada yang ‘subtle’ (tak nampak sangat tapi rasanya kuat).
2. Bersaing Dengan Anda Dalam Perhubungan : Dia jadikan anda sebagai pesaingnya, jika anda ada kelebihan dia cuba ambil itu sebagai peluang untuk dia tertonjol dan mendapat keistimewaan. Dan jadikan kelemahan anda sebagai alasan untuk menutup kelemahan diri dia pada tatapan umum.
Hakikatnya dalam perhubungan selain cinta, kita juga perlukan rasa ‘sense of respected’ (dihormati, dihargai, dimuliakan) namun malangnya seorang yang bersikap narsistik hanya pandai buat anda jatuh cinta melalui watak karismatiknya, seni pertuturannya dan manis bicaranya namun dia seorang yang gagal untuk menunjukkan penghargaan dan komitmen yang berpanjangan.
Seorang yang narsistik amat sukar untuk mewujudkan naratif perhubungan yang bersifat berpanjangan. Anda akan selalu rasa kecewa dan sedikit ragu apabila dia mula berubah sikap apabila di pelbagai situasi.
Mungkin ada yang berfikir yang cinta itu akan selesaikan semua perkara. Sebenarnya tidak, dia akan layan kita seumpama kanak-kanak. Kita mungkin cintakan kanak-kanak, tetapi kadangkala kita tidak hormat kanak-kanak kerana keterbatasan pengetahuan dan kematangan kanak-kanak itu sendiri. Begitulah bila rasa hormat itu jelas hilang dari radar perhubungan.
Sedangkan Nabi Muhammad SAW seorang yang sangat menghormati para isteri baginda selain mencintai mereka. Contohnya peristiwa perjanjian Hudaibiyah, dimana Nabi SAW menerima cadangan isterinya Ummu Salamah untuk bertahallul ketika mana baginda SAW ada sedikit perselisihan dengan Umar al-Khattab. Sama juga saat Nabi SAW meminta pandangan Khadijah setelah menerima wahyu. Dan banyak lagi peristiwa yang menunjukkan adakalanya Nabi SAW memerlukan hemat pandangan isterinya, itu adalah tanda kehormatan yang amat tinggi.
Menurut Stephen Hussey, beza antara cinta dan hormat ialah :
Cinta : “Saya perlukan kamu, dan saya mahukan yang terbaik buat kamu”
Hormat : “Saya kagum dengan diri kamu sedia ada, dan saya sentiasa hargai setiap apa yang kamu katakan”
Kita perlukan kedua-dua elemen ini dalam satu masa. Jika hanya ada cinta, dia mungkin menunjukkan dia paling indah dan romantik sewaktu makan malam namun selepas itu dia akan layan anda seperti tiada nilai kehormatan. Jadi perhubungan begini biasanya seperti roller coster.
Disini ada beberapa cadangan supaya “sense of respected” itu sentiasa bersinar, mekar dan bercahaya dalam perhubungan kita sehari-hari.
1. Maksudkan betul-betul apa yang kita cakap : Kalau kita ada beritahu sesuatu, buat selepas itu. Bukan hanya bercakap, bermadah dan hilang begitu sahaja.
2. Tunjukkan prinsip anda itu dimana-mana sahaja anda berada : Bila anda bersama pasangan secara berduaan, atau dengan keluarga atau dengan rakan taulan layanlah pasangan anda sama sahaja. Bukan apabila berdua sahaja berlakon baik, namun apabila depan ahli keluarga, kita merendahkan dia.
3. Selalu mewujudkan perbualan mendalam : orang akan rasa tidak dihormati apabila dia tidak dianggap penting atau diabaikan. Perasaan diabaikan seperti acuh tak acuh akan membuatkan nilai dirinya jatuh dengan mendadak.
Sumber: TZKRH.COM