Pasangan Kekasih Direman Berhubung Pembunuhan Kanak-Kanak OKU

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUCHING: Pasangan kekasih direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes pembunuhan membabitkan seorang kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) berusia enam tahun, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon, berkata perintah tahanan reman ke atas suspek wanita berusia 34 tahun yang juga ibu kepada mangsa serta suspek lelaki berusia 35 tahun itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Bau.

Katanya kedua-dua suspek juga didapati positif dadah methamphetamine.

“Bedah siasat ke atas mangsa dilakukan semalam dan kedua-dua suspek juga diambil darah untuk perbandingan asid deoksiribonukleik (DNA) dengan mangsa,” katanya ketika dihubungi BERNAMA, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan OKU maut dipercayai dipukul oleh teman lelaki ibunya dalam kejadian yang berlaku pada pertengahan Disember lalu.

Kes diklasifikasi sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: BERNAMA