Pasar di Kuala Terengganu dikunjungi seperti biasa

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Beberapa pasar utama di negeri ini lengang dengan tiada penduduk dilihat melakukan pembelian panik pada hari pertama penguatkuasaaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) 2.0.

Tinjauan di Pasar Cabang Tiga, Pasar Borong Gong Pauh dan Pasar Kedai Payang, hari ini mendapati kunjungan orang ramai adalah seperti biasa dengan masing-masing mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Peniaga di Pasar Kedai Payang, Ahmad Hakim Hassan, 51, berkata, sejak pagi pelanggannya hadir seperti biasa dan tiada yang membeli barang keperluan berlebihan.

“Sayur, bawang, ikan, ayam dan daging pun mencukupi walaupun ada antara peniaga membuat stok kerana menjangkakan pasar akan jadi tumpuan susulan PKPB hari ini,” katanya yang berniaga sayur-sayuran sejak 20 tahun lalu.

Pada Isnin lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiga peringkat untuk tempoh 14 hari bermula jam 12.01 tengah malam tadi hingga 26 Januari.

Terengganu diletakkan dalam kategori peringkat kedua iaitu PKPB bersama lima lagi negeri, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan.

Sumber: My Metro