KUALA TERENGGANU: Lokasi pelancongan paling popular di Terengganu, Pasar Besar Kedai Payang yang berada dalam projek pembangunan semula bagi memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung akan dibuka sepenuhnya pada Mei tahun depan.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif menyatakan bahawa projek pembangunan pasar tumpuan utama masyarakat itu telah dimulakan pada tahun 2018 dan kini sudah berada pada tahap kemajuan 90 peratus.
“Projek ini sudah berada di peringkat akhir dengan 10 peratus kemajuan lagi melibatkan kerja-kerja ‘finishing’ termasuk penyediaan landskap yang cantik, kemasan longkang, cat, pencahayaan dan lain-lain lagi.
“Selepas beberapa kali tempoh dilanjutkan, Insya-ALLAH orang ramai akan dapat menikmati suasana membeli-belah di Pasar Payang berwajah baharu pada Mei tahun depan,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Kos yang dilibatkan bagi projek pembangunan semula Pasar Kedai Payang ini adalah sebanyak RM69.3 juta dan ianya dijadualkan akan siap sepenuhnya pada 29 Mac untuk memberi ruang peniaga yang ditempatkan di pasar payang sementara berpindah ke sana.
Pasar baharu yang dibangunkan di tapak asal Pasar Payang itu mempunyai 418 lot niaga meliputi perniagaan batik dan sutera, makanan kering dan produk tradisional Terengganu seperti keropok serta barang basah.
Tidak kurang juga, pasar ini turut dilengkapi kemudahan lain seperti pendingin hawa, lif penumpang, tandas, eskalator dan bilik persalinan bayi selain dari lot perniagaan yang lebih selesa,
Rosli turut menyatakan bahawa antara tarikan lain yang terdapat di sana nanti adalah sebuah menara jam turut dibangunkan semula untuk membangkitkan nostalgia jam besar di pintu masuk Pasar Payang lama sekitar 50 tahun lalu sebelum ia dirobohkan.
Beliau menambah lagi, kerajaan negeri berharap Pasar Payang baharu akan memberi lebih banyak manfaat kepada peniaga dan pengunjung sekali gus dapat memacu perkembangan sektor pelancongan serta ekonomi setempat.
“Proses transformasi ini akan menjadikan Pasar Payang lebih cantik dan beri keselesaan buat semua pihak. Semoga Pasar Payang terus menjadi destinasi ikonik yang menjadi tempat wajib singgah bila datang ke Terengganu,” katanya.
Sumber: SINAR HARIAN