Pasar Siti Khadijah lengang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Pasar Siti Khadijah di sini lengang daripada pengunjung berikutan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh yang berkuat kuasa mulai Selasa.

Tinjauan Sinar Harian mendapati hanya segelintir pengunjung yang keluar masuk untuk membeli barangan keperluan di pasar berkenaan.

Peniaga sayur, Roslina Ismail, 43, berkata, susulan Sekatan Pergerakan Penuh, dia membuat keputusan untuk mengurangkan jumlah jualannya.

“Ini untuk mengelakkan saya berdepan risiko kerugian kerana kebanyakan sayur-sayuran yang dijual tidak boleh tahan lama,” katanya.

Noraini tetap tidak berputus asa menjual karipap sejuk beku di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu walaupun tidak ramai pengunjung.

Beliau bagaimanapun berkata, dia terpaksa juga berniaga untuk memastikan pendapatan tidak putus sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh ini.

“Walaupun jualan agak merudum, tapi sekurang-kurang dapat menampung perbelanjaan harian keluarga,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Noraini Daud, 44, berkata, pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh memberi kesan kepada kuih karipap sejuk beku yang dijualnya.

Menurutnya, sejak jam 8 hingga 10 pagi, hanya mampu menjual sekitar 10 peket sahaja, jauh lebih rendah berbanding biasa.

“Sebelum ini saya letakkan karipap ini di sekolah-sekolah untuk dijual, namun sejak sekolah ditutup, pendapatan saya menjunam dengan teruk,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia tetap tidak berputus asa dan cuba menjualnya di sekitar pasar walaupun tidak ramai pengunjung.

SUMBER: Sinar Harian