KUALA NERUS – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah mengenal pasti 48 Kelab Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara yang akan diwujudkan pasukan bomba sukarela di kawasan berkenaan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, berkata daripada 200 senarai yang dikemukakan, pihaknya memilih 48 KRT terlebih dahulu memandangkan penubuhannya membabitkan kos dan perbelanjaan.
Katanya, setiap bomba sukarela yang ditubuhkan akan dibekalkan peralatan asas dengan mereka yang terbabit turut diberikan latihan kebombaan.
“Oleh itu, daripada 200 KRT yang dikemukakan di seluruh negara, kita memilih 48 dahulu buat masa ini yang mana setiap negeri akan diwujudkan tiga bomba sukarela dengan keanggotaan oleh ahli KRT itu sendiri.
“Kita melihat keperluan mewujudkan bomba sukarela dalam komuniti setempat kerana mereka lebih dekat dengan setiap kejadian.
“Contohnya, sekiranya berlaku kebakaran ahli KRT yang dibekalkan dengan alatan asas ini boleh menggunakan kemahiran dan peralatan dibekalkan untuk memberi bantuan awal kepada mangsa sementara menunggu pegawai dan anggota daripada balai berhampiran tiba,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Perkhidmatan 30 Tahun 2021 JBPM Negeri Terengganu, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah JBPM negeri, Md Hilman Abd Rashid.
Mohamad Hamdan berkata, alatan asas seperti pam, paip dan pakaian khas akan dibekalkan kepada KRT berkenaan, manakala bagi kawasan yang sering terbabit banjir pula mereka akan dibekalkan dengan bot gentian kaca atau bot getah.
Katanya, bantuan awal amat penting dalam membantu mangsa yang terbabit dalam bencana atau kecemasan, oleh itu unit bomba sukarela amat diperlukan di era mencabar ini.
Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pucuk pimpinan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), bagi membincangkan hal ini lebih lanjut.
Mengulas keanggotaan bomba, beliau berkata berikutan pandemik COVID-19 pihaknya tidak membuat pengambilan pegawai dan anggota selama tiga tahun.
“Jumlah pegawai dan anggota yang bersara pula antara 200 hingga 400 orang setiap tahun, justeru berlaku kekurangan keanggotaan yang ketara bagi tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
“Justeru, bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan kita sudah membuat pengambilan 1,000 kakitangan baharu dan 100 lagi tambahan keanggotaan turut diluluskan kerajaan,” katanya.
Sumber : BERITA HARIAN