Lipis: ‘Patin diternak dalam sangkar ini mungkin ‘berkubur’ dalam sungai kerana melebihi usia matang, malah ada yang berumur lebih setahun menyebabkannya sukar dipasarkan,” kata Khairul Anuar Ahmad Mahir.
Khairul Anuar, 32, yang juga pengusaha ternakan ikan sangkar Sungai Jelai di Kampung Ganding di sini, berkata pihaknya kerugian besar selepas patin itu gagal untuk dipasarkan sejak awal tahun ini.
“Bukan setakat tidak pulang modal malah kami kerugian besar. Berikutan sekatan rentas daerah dan negeri yang dikuatkuasakan, kami tidak dapat memasarkannya.
“Walaupun kini ada kelonggaran rentas daerah, kami anggap ia umpama nasi sudah menjadi bubur kerana patin diternak sudah melebihi usia matang dan tidak laku di pasaran,” katanya.
Menurut Khairul Anuar yang mengusahakan perniagaan berkenaan bersama saudaranya, Mohktar Mohamad, 55, sepatutnya, kira-kira 50,000 patin memasuki pasaran pada Mei lalu namun sebaliknya yang berlaku apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan mulai 10 Mei lalu.
Kata Khairul Anuar, dia dan Mohktar mengeluarkan modal sendiri untuk membiayai pembinaan 70 sangkar patin di Sungai Jelai.
Katanya, sejak 2000, pihaknya sudah menternak kira-kira 80,000 patin.
“Kami tidak sangka, ancaman pandemik Covid-19 pada awal 2020 menyebabkan pengusaha seperti kami dan yang lain ‘terduduk’.
“Sebelum PKP, kami mampu memasarkan kira-kira dua tan patin pada setiap minggu untuk pengusaha restoran di Kuala Lipis, Jerantut selain pemborong dari Lembah Klang.
“Sejak PKP Mei lalu pula, kami hanya dapat memasarkan kira-kira 200 kilogram (kg) patin seminggu kepada penduduk kawasan kampung berdekatan, ia tidak balik modal,” katanya.
Ketika ini, menurutnya, pihaknya menggunakan wang simpanan untuk membeli 60 hingga 70 beg makanan ikan sehari.
Katanya, patin yang ada pula seberat lebih dua kilogram sedangkan pasaran hanya mahukan patin yang seberat satu hingga 1.5kg saja.
“Selepas memasuki kelonggaran berniaga Fasa 2, kami hanya membuka gerai di tepi jalan raya Jerantut-Lipis berdekatan Kampung Ganding, untuk menjual patin secara runcit.
“Walaupun memperoleh hasil yang kurang namun kami tetap bersyukur kerana ia cukup untuk kami membeli barangan keperluan harian,” katanya.
Sumber: My Metro