KUALA TERENGGANU – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan menganjurkan program Payang Walk dan Operasi Beca Warisan di sekitar Pasar Kedai Payang sekaligus memperkasakan ikon pelancongan utama negeri Terengganu itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri, Ariffin Deraman berkata, sebanyak lebih RM100 ribu peruntukan wang yang dibelanjakan oleh MBKT bagi melancarkan program ini.
“Saya difahamkan bahawa pihak MBKT telah membelanjakan lebih dari RM100 ribu untuk membangunkan khazanah melalui projek ini dan tarikh perasmian yang akan dirasmikan oleh YAB Menteri Besar ialah pada 21 Julai 2023” katanya pada sidang media disini, semalam.
Payang Walk merupakan konsep jualan dan aktiviti berkonsepkan pelancongan di pinggiran jalan yang beroperasi pada hujung minggu di Pesisir Payang (bersebelahan Pasar Besar Kedai Payang).
Antara segmen jualan dan aktiviti di Payang Walk adalah jualan barangan tempatan, jualan makanan tradisional tempatan dan persembahan kebudayaan dan kesenian.
“Payang Walk akan menempatkan lebih dari 100 orang peniaga di sekitar laluan Beca Warisan dan akan beroperasi pada hari jumaat jam 3 petang hingga 12 tengah malam” tambahnya lagi.
Menurut Ariffin lagi, projek ini dijalankan pada hari jumaat sahaja adalah kerana ianya merupakan projek percubaan untuk melihat sejauhmana keberkesanan dan sambutan sebelum melangkah ke peringkat yang seterusnya.
Dalam pada itu, Datuk Bandar MBKT, Rosli Latiff berkata, antara objektif program ini selain meningkatkan imej Pasar Kedai Payang, ianya juga membantu untuk menaik taraf ekonomi penduduk dan mengekalkan warisan tradisi tempatan.
“Jarak laluan khas beca ini adalah sejauh 3 kilometer dan beca-beca yang sedia ada akan dinaiktaraf secara berperingkat dengan rupa bentuk yang lebih menarik serta dilengkapi kemudahan solar melalui kerjasama pihak MBKT dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)” katanya.
Jelas beliau, di sepanjang operasi Payang Walk dan Beca Warisan ini, sebahagian jalan Sultan Zainal Abidin dan Jalan Bandar Kampung Cina akan disediakan laluan khas beca manakala di Pesisir Payang akan ditutup sepenuhnya.
“Kami juga akan menyediakan kawasan khas tempat letak kenderaan kepada peniaga dan ‘public parking’ kepada pengunjung-pengunjung nanti” tambahnya lagi.
Menurut Rosli, anggaran bayaran bagi setiap beca pada jarak 3 kilometer adalah RM20 dan setakat ini terdapat sebanyak 54 beca elektrik yang telah berdaftar.
Pihak penganjur juga bercadang untuk membuat aplikasi khas untuk pembayaran melalui atas talian bagi kemudahan para pengunjung.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu dijangka hadir dan merasmikan program Payang Walk dan operasi beca warisan pada 21 Julai 2023 jam 8.30 malam bertempat di Pesisir Payang, Kuala Terengganu.
-UNIT BERITA MANIS FM