KUALA LUMPUR — Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) di dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dilihat menjadi komponen penting dalam membina dan mengembangkan potensi murid, khusus dengan adanya langkah intervensi.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata pelaporan baharu PBD bagi setiap mata pelajaran di sekolah mempunyai tiga aspek meliputi penguasaan mata pelajaran, ujian akhir tahun dan komponen usaha murid dalam memberi pelaporan menyeluruh terhadap prestasi murid.
“Kerana terdapat situasi ibu bapa lihat anaknya rajin tetapi apabila sampai masa keputusannya tidak tinggi. Melalui tiga pendekatan ini, jika anak kita dapat tahap penguasaan lima (markah penilaian), ujian akhir tahun (dua) dan usaha (enam) bererti anak murid itu adalah seorang pelajar yang rajin.
“Namun, terdapat beberapa topik pada mata pelajaran itu yang dia sangkut. Maka, dengan adanya pelaporan PBD ini, di situ kita dapat bantu murid itu,” katanya pada program Ruang Bicara terbitan BernamaTV yang disiarkan hari ini.
Radzi berkata PBD jika dibandingkan dengan sistem pembelajaran sebelum ini, dilihat mampu mengembangkan potensi murid secara total berikutan prestasi mereka tidak diukur dan terhad hanya kepada peperiksaan semata-mata.
“Anak-anak kita ini mempunyai kekuatan masing masing dan kita perlu pastikan supaya kita tidak ‘bunuh’ potensi anak-anak ini di peringkat yang terlalu awal.
“Sebelum ini, kalau lihat keputusan UPSR, maka itulah (keputusannya), tiada langkah intervensi. Di situ berlakunya perkara seperti murid yang tidak boleh membaca meskipun sudah di peringkat sekolah menengah, kerana tiada langkah intervensi dilakukan bagi menangani perkara ini,” katanya.
Pada April tahun lepas, Radzi telah mengumumkan pemansuhan sepenuhnya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai 2021 sekali gus memberi tumpuan terhadap pemerkasaan PBS manakala kemasukan ke sekolah berasrama penuh dan sebagainya mulai 2022 adalah berdasarkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).
Sumber : BERNAMA