Selepas tiga minggu Rantau Panjang di sini yang sebelum ini sinonim dengan lubuk membeli-belah seolah-olah menjadi pekan koboi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 21 Nov lepas, kini pekan itu seakan kembali ‘bernyawa’.
Setelah pengumuman dibuat Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa PKPB di daerah Kota Bharu, Machang, Tanah Merah dan Pasir Mas ditamatkan Jumaat lepas, banyak kenderaan bukan sahaja dari sekitar negeri ini malah dari luar Kelantan dilihat mulai masuk ke pekan itu.
Malah, kebenaran rentas negeri dan daerah oleh kerajaan bermula 7 Dis lepas juga dilihat membantu merancakkan kembali ekonomi rakyat terutamanya peniaga yang terkesan berikutan penularan pandemik COVID-19 yang melanda di seluruh negara.
Tinjauan Bernama hari ini mendapati, pekan itu kembali meriah dengan kehadiran pengunjung setempat termasuk dari luar Kelantan sama ada untuk membeli-belah mahupun menjamu selera namun, pengunjung dilihat kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti mengamalkan penjarakan fizikal.
Seorang peniaga makanan kekacang, Al Aswad Omar, 38, berkata sejak berniaga hampir 20 tahun lepas di pekan Rantau Panjang, ini merupakan kali pertama dalam ‘sejarah’ hidupnya sebagai peniaga yang terpaksa menutup perniagaan dalam tempoh agak lama sepanjang PKPB.
Katanya, walaupun sektor ekonomi masih dibenarkan untuk beroperasi sepanjang tempoh PKPB lepas, beliau serta beberapa peniaga lain mengambil keputusan untuk menutup perniagaan bagi mengelakkan menanggung risiko kerugian selain tiada pengunjung seperti sediakala.
“Malah, sepanjang tempoh PKPB itu juga saya terpaksa merehatkan sementara dua pekerja memandangkan tidak mampu untuk membayar gaji mereka sekitar RM50 sehari kerana tiada jualan sepanjang tempoh itu yang kebiasaannya saya mampu meraih sehingga melebihi RM500 sehari.
“Bagaimanapun, saya bersyukur sejak kerajaan mula membenarkan orang ramai rentas negeri dan daerah ramai pengunjung mula datang ke pekan ini sejak semalam sekali gus dapat menjana semula pendapatan peniaga yang terjejas teruk sebelum ini,” katanya yang kembali berniaga semalam.
Kegembiraan itu turut dikongsi peniaga pakaian Nor Suhaini Mohammad, 28, yang menyifatkan kebenaran rentas negeri dan daerah yang diumumkan kerajaan merupakan ‘khabar gembira’ buat peniaga.
“Sejak semalam pekan Rantau Panjang ini mula meriah kembali dengan pengunjung termasuk luar Kelantan iaitu dari Perak, Kedah dan sebagainya…bagaimanapun, kami (peniaga) tetap mematuhi SOP, malah saya turut mengehadkan hanya lima pelanggan dibenarkan masuk ke dalam kedai pada satu-satu masa selain wajib memakai pelitup muka,” katanya.
Sementara itu, seorang pengunjung Nor Abidah Yusof, 30, dari Kota Bharu berkata beliau mengambil peluang berkunjung ke pekan itu bagi membantu merancakkan lagi ekonomi peniaga yang terkesan.
Sebelum ini, pekan Rantau Panjang bertukar menjadi pekan koboi apabila PKPB dilaksanakan di negeri ini pada 21 Nov dan tamat Jumaat lepas, bagaimanapun dua mukim (daerah Penggawa) iaitu Kubang Kerian di Kota Bharu dan Kusial di Tanah Merah diteruskan sehingga 20 disember .
Sumber : Bernama