Pekebun, penternak bimbang kehadiran pak belang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Dungun: “Saya dan isteri tidak lagi berani ke kebun,” kata pekebun sayur, Faiz Ikhbal Entjet, selepas terdengar ngauman harimau di kawasan kebunnya di Kampung Tebing Tembah, Paka.

Faiz Ikhbal berkata, ngauman itu didengar ketika dia dan isteri sedang membaja tanaman terung yang diusahakan minggu lalu.

“Sebelum ini kami pernah terserempak dengan beruang dan kali ini pula kami berdepan pula ancaman harimau.

“Selepas itu, saya dan isteri tidak berani masuk ke kebun dan saya ke kebun menuai hasil sekali sahaja itupun dengan ditemani beberapa rakan lain, ” katanya.

Menurutnya, kehadiran harimau itu sangat mengganggu rutin kerja harian kira-kira 80 penduduk di situ termasuk pekebun sayur serta penternak lembu dan kambing.

“Kini kami semua perlu berwaspada sepanjang masa ke kebun dan kandang ternakan dan berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) segera membantu menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Rakannya, Darani Salleh, 58, berkata, kawannya terserempak dengan harimau itu melintas di kawasan belukar dekat dengan kebun sayur penduduk, dua hari lalu ketika pulang dari kebun.

“Harimau itu setinggi paras pinggang. Sejak itu, semua pekebun dan penternak tidak berani dan mengambil keputusan masuk kawasan itu secara beramai-ramai.

“Kami sudah memaklumkan perkara itu kepada Perhilitan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan selepas mendapat aduan penduduk.

Katanya, pihaknya menemui beberapa kesan tapak kaki harimau dan ia dipercayai datang dari kawasan Hutan Simpan Bukit Bauk kira-kira 500 meter dari kebun penduduk.

“Setakat ini, harimau itu tidak melakukan sebarang ancaman kepada penduduk serta ternakan penduduk.

“Namun, anggota kami akan sentiasa melakukan pemantauan di sekitar kawasan terbabit demi keselamatan penduduk,” katanya.

Sumber: My Metro