Kuantan: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara menghantui 17 pekebun tembikai di Kampung Ubai, di sini, kerana bimbang hasil tanaman mereka tidak dapat dipasarkan mengikut jadual.
Malah, mereka mendakwa bakal berdepan kerugian akibat buah rosak kerana gagal dipasarkan seperti awal tahun lalu, tambahan pula berlaku lambakan buah tembikai berkenaan.
Pekebun Ain Izuadin Mohd Ghazali, 26, berkata jadual pengeluaran tanaman tembikai berlaku sepanjang April hingga Mei dengan hasil akan dituai secara berperingkat mengikut permintaan.
Menurutnya, pada tahun lalu rata-rata pekebun mengalami kerugian apabila buah tembikai tidak dapat dipasarkan disebabkan PKP.
“Saya mengalami kerugian kira-kira RM9,000 apabila buah tidak dapat dijual menyebabkannya rosak pada tahun lalu, malah pekebun lain juga mengalami nasib sama.
“Kebanyakan hasil akan keluar secara berperingkat, namun akibat jumlah pekebun yang ramai menyebabkan akan berlaku lambakan,” katanya mengusahakan tanaman tembikai jenis boci seluas lebih 1.6 hektar.
Menurutnya, dia juga tidak menyangka PKP diadakan seluruh negara sekali lagi, sekali gus impiannya meraih rezeki hasil tanaman tidak menjadi kenyataan buat kali kedua berturut-turut.
Katanya, dia terpaksa menggunakan media sosial untuk memasarkan tanaman tembikainya, namun terdapat banyak buah belum dipetik disebabkan permintaan terlalu perlahan.
Rakannya Ramli Botok, 62, berkata dia sepatutnya sudah memasarkan hasil tanamannya secara berperingkat, namun dibiarkan di kebunnya disebabkan tiada pasaran.
“Kira-kira 25 tan buah sedia dipasarkan pada musim kali ini, namun hingga kini jualan tidak dapat dilakukan disebabkan tiada pasaran.
“Pemborong tidak boleh datang untuk mengambil buah dan aktiviti jualan tepi jalan kurang sambutan, pastinya saya sekali lagi akan rugi selepas mengeluarkan banyak modal,” katanya.
Sumber: My Metro